KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan wang berbilion ringgit yang sepatutnya dimanfaatkan untuk pendidikan dan masa depan generasi muda tidak boleh dibiarkan diseleweng demi kepentingan peribadi.
Beliau berkata, perbuatan mencuri wang yang sepatutnya digunakan untuk membantu pelajar dan anak-anak negara merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima, terutama ketika pendidikan menjadi antara keutamaan kerajaan.
“Berbilion-bilion sepatutnya digunakan untuk pelajar dan anak-anak kita, bukannya dicuri oleh perasuah. Saya tidak boleh menerima perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Perasmian International Young Future Leaders Summit (iFUTURE) 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), malam tadi.

Anwar berkata, isu sebenar yang membelenggu negara bukanlah perbezaan kaum atau agama, sebaliknya tindakan segelintir pihak yang menjadikan kedua-dua perkara itu sebagai alasan untuk menutup salah laku dan penyalahgunaan kuasa.
Menurut beliau, terdapat pihak yang didakwa menggunakan wang berbilion ringgit untuk kepentingan keluarga sendiri, sebelum memainkan sentimen Melayu dan Islam apabila perbuatan mereka terbongkar.
“Masalah di Malaysia bukan berkaitan kaum atau agama, masalahnya ialah penipu yang menggunakan kaum dan agama untuk menyembunyikan keterlaluan mereka sendiri,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa kesilapan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, termasuk pelajar dan pemimpin, namun perkara yang membezakan seseorang ialah keberanian mengakui kesalahan serta kesediaan untuk melakukan pembetulan.
Katanya, pemimpin perlu membuktikan komitmen terhadap perubahan melalui tindakan, khususnya dengan memastikan wang rakyat diurus secara bertanggungjawab dan disalurkan kepada keperluan sebenar masyarakat.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan pendidikan kekal sebagai keutamaan utama dalam belanjawan negara, diikuti sektor kesihatan bagi memastikan rakyat mendapat akses kepada kemudahan pembelajaran dan perkhidmatan perubatan yang sewajarnya.
Beliau berkata, kerajaan turut meningkatkan peruntukan bagi kedua-dua sektor berkenaan selain menyediakan pelbagai bentuk bantuan sosial, termasuk untuk pekerja gig dan graduan muda.
Bagaimanapun, katanya, peningkatan peruntukan sahaja tidak mencukupi sekiranya masalah ketirisan, kelemahan tadbir urus dan ketidakjelasan dalam pengurusan kontrak kerajaan masih berterusan.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan akan memastikan proses berkaitan kontrak pembinaan sekolah, hospital, universiti dan jalan raya dilaksanakan secara lebih telus mulai tahun depan.
Anwar berkata, maklumat mengenai projek berkenaan perlu didedahkan kepada umum, termasuk identiti pihak yang memperoleh kontrak, nilai projek, syarikat yang dilantik, perkembangan pelaksanaan serta sebab pemilihan kontraktor berkenaan berbanding pihak lain.
Menurutnya, pendedahan maklumat itu tidak seharusnya terhad kepada peringkat pusat sahaja, malah perlu diperluas ke peringkat tempatan bagi membolehkan masyarakat memantau projek pembangunan di kawasan masing-masing.
Beliau berkata, penglibatan masyarakat dalam pemantauan berkenaan penting untuk memastikan setiap peruntukan awam dibelanjakan mengikut tujuan asal dan projek yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik.
Pada masa sama, Anwar menggalakkan peserta mengemukakan teguran dan cadangan terhadap kelemahan pentadbiran, termasuk berkaitan kebersihan serta pendigitalan perkhidmatan awam.
Katanya, kerajaan terbuka menerima pandangan yang membina, khususnya daripada golongan muda, bagi membantu mengenal pasti ruang penambahbaikan dan meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat.

Beliau turut mengingatkan bakal pemimpin supaya meletakkan integriti, kesungguhan bekerja dan kepentingan rakyat sebagai asas dalam melaksanakan tanggungjawab, sama ada ketika memegang jawatan sekarang mahupun apabila menerajui negara pada masa depan.
Menurutnya, pembinaan negara yang lebih baik memerlukan kesediaan untuk mengakui kelemahan, memperbaiki kesilapan dan memastikan setiap keputusan yang dibuat membawa manfaat kepada keluarga, masyarakat serta negara.
Mengulas kehadiran pelajar antarabangsa, Anwar berkata, Malaysia berhasrat mewujudkan persekitaran yang selesa dan mesra supaya pelajar dari luar negara berasa seperti berada di rumah sendiri sepanjang tempoh pengajian.
Beliau berharap penganjuran iFUTURE 2026 dapat mengeratkan hubungan antara golongan muda dari pelbagai negara, di samping membuka ruang kepada persefahaman dan kerjasama yang mampu memberi manfaat kepada masa depan bersama.
Sumber: Malaysia Gazette (Kasthuri Jeevendran)




