Peguam nafi kos guaman dua polis dibiayai sindiket

Peguam nafi kos guaman dua polis dibiayai sindiket

PETALING JAYA: Firma guaman mewakili dua anggota polis yang didakwa dikasari Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mahu mengambil tindakan saman sivil terhadap pihak yang menyebarkan kenyataan tidak benar.

Tetuan Kamal Hisham & Associates berkata, antara kenyataan tidak benar itu termasuk dakwaan kononnya kos guaman kedua-dua anggota polis berkenaan dibiayai sindiket jenayah.

Katanya, kenyataan tersebut bukan sahaja ditujukan kepada kedua-dua anggota polis terbabit, malah turut menyasarkan firma berkenaan selaku peguam cara mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pihak kami menghormati hak kebebasan bercakap yang dijamin di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan untuk mana-mana orang memberikan kenyataan atau pandangan yang wajar berkenaan kes ini.

“Walau bagaimanapun, hak kebebasan untuk bersuara tersebut bukanlah merupakan suatu kebebasan yang mutlak.

“Kami menyatakan dengan tegas bahawa sebarang pernyataan yang tidak benar tersebut adalah merupakan suatu kesalahan yang boleh disiasat oleh pihak berkuasa di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, firma guaman itu memaklumkan bahawa kedua-dua anak guamnya telah membuat laporan polis tambahan pada 10 Oktober lalu bagi mengemukakan keterangan material berkaitan kes tersebut kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tujuan siasatan.

“Pihak kami berpandangan bahawa terdapat fakta-fakta material dalam kes ini yang menjurus kepada kemungkinan telah berlakunya kesalahan-kesalahan termasuk tetapi tidak terhad kepada di bawah Seksyen 186, 323, 353, 355 dan/atau 506 Kanun Keseksaan.

“Oleh yang demikian, pihak kami menyerahkan sepenuhnya siasatan kes ini kepada PDRM dan juga Jabatan Peguam Negara Malaysia untuk menilai serta membuat keputusan dalam kes ini demi kepentingan keadilan semua pihak,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top