Kathmandu: Banjir kilat melanda kawasan tengah Nepal semalam, menghanyutkan 45 rumah dan menyebabkan sekurang-kurangnya lima orang hilang, menurut pegawai.
Video yang tular dalam talian menunjukkan sungai berwarna gelap yang dipenuhi serpihan mengalir deras melalui kawasan berbukit di daerah Gorkha.
Ketua Agensi Bencana Negara, Dharam Raj Uprety berkata, banjir berlaku selepas tanah runtuh kering menghalang aliran sungai sebelum sekatan itu pecah.
Banjir itu turut merosakkan tiga projek hidroelektrik dan empat jambatan.
Menurut agensi bencana lagi, sekurang-kurangnya 82 orang termasuk sembilan warga asing berjaya diselamatkan dari kawasan terjejas.
Katanya, hujan lebat pada akhir September turut mencetuskan banjir dan tanah runtuh yang mengorbankan sekurang-kurangnya 21 orang.
Dalam pada itu, empat helikopter dikerahkan bagi membantu usaha menyelamat dan pemindahan ketika paras air di Sungai Budhi Gandaki terus meningkat.
Pihak berkuasa sebelum ini mengeluarkan amaran menggesa penduduk berpindah dari kawasan berhampiran sungai ke lokasi yang lebih selamat.
Banjir terbaharu itu berlaku ketika Nepal masih dalam proses pemulihan daripada banjir dahsyat yang dicetuskan runtuhan glasier gunung pada 26 Ogos lalu dan mengorbankan lebih 1,400 orang serta menyebabkan lebih 5,000 orang hilang.
Sementara itu, pegawai tempatan daripada perbandaran luar bandar Chumnubri, Laxmi Gurung berkata, banjir berkenaan kelihatan sama seperti bencana lalu dan amat menakutkan.
“Rumah kami sudah musnah, kami tiada bekalan elektrik… tetapi tiada kematian dilaporkan,” katanya.
Pusat Antarabangsa bagi Pembangunan Gunung Bersepadu (ICIMOD) yang berpangkalan di Kathmandu berkata, bencana yang berlaku menunjukkan terdapat pelbagai jenis bahaya yang boleh mencetuskan banjir besar dan merosakkan sistem sungai kawasan Himalaya.
Ketua Pengarahnya, Pema Gyamtsho berkata, memahami punca banjir amat penting bagi mengurangkan risiko pada masa hadapan dan memperkukuh daya tahan, meskipun usaha tindak balas kekal sebagai keutamaan segera.
© New Straits Times Press (M) Bhd




