essabuyamin@bh.com.my
Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggempur lokasi sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur dan Jalan Selayang Baru di sini, yang menjadi markas pendatang asing tanpa izin berniaga secara haram.
Dalam Ops Tebah dilakukan kelmarin, DBKL melakukan 23 tindakan sitaan.
DBKL dalam kenyataan hari ini memaklumkan, sembilan notis turut dikeluarkan, manakala Majlis Perbandaran Selayang (MPS) merekodkan lima inventori tindakan, termasuk merobohkan struktur haram yang dijadikan stor warga asing serta menyita sayur-sayuran serta barangan perniagaan.
“Notis dikeluarkan mengikut Seksyen 46(1)(d) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 serta Kaedah 12(4), Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.
“Tindakan sitaan membabitkan Seksyen 46(1)(d) dan Seksyen 46(1) akta yang sama, termasuk sitaan kenderaan mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016,” katanya.
Menurut kenyataan itu, operasi bersepadu berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama MPS, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
“Jabatan Pelesenan MPS turut mengeluarkan tiga kompaun dan tiga notis, termasuk notis penutupan premis dalam operasi sama.
“MPS melalui Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan merekodkan lima inventori, termasuk merobohkan struktur haram stor warga asing serta sitaan sayur-sayuran dan barangan perniagaan,” katanya.
Sementara itu, SSM mengeluarkan 12 kompaun atas kesalahan di bawah Kaedah-Kaedah Pendaftaran Perniagaan 1957 dan Akta Pendaftaran Perniagaan 1956.
“Antara kesalahan dikesan ialah kegagalan mempamerkan papan tanda, ketiadaan sijil SSM dan pendaftaran tamat tempoh, selain satu kes di bawah Seksyen 30(1)(b) Akta Syarikat 2016.
“Operasi bersepadu seumpama ini akan terus dipergiatkan bagi memastikan kawasan perniagaan dan pasar borong di WPKL kekal teratur, selamat serta mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa.
“Tindakan dan pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa. Sebarang aduan atau maklumbalas, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat dipautan https://adukl.dbkl.gov.my/,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




