Kisah seorang pelajar berusia 19 tahun yang memperoleh keputusan cemerlang 10A tetapi terpaksa menangguhkan pengajian ke universiti akibat kekangan kewangan mengundang perhatian ramai, termasuk Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Cari pelajar cemerlang mahu beri bantuan
Menerusi perkongsian di media sosial, Asyraf memaklumkan bahawa beliau menerima telah ‘diseru’ orang ramai berhubung nasib pelajar terbabit yang terpaksa bekerja sebagai penghantar makanan bagi mencari pendapatan.
“Ramai yang tagged saya perihal pelajar berusia 19 tahun yang cemerlang 10A tapi terpaksa menangguhkan dahulu pengajian ke universiti kerana kekangan kewangan hingga terpaksa bekerja sebagai penghantar makanan.
“Mohon sesiapa yang ada maklumat mengenai anak muda ini, maklumkan kepada saya segera,”
Menurutnya, kisah itu mengingatkan beliau kepada seorang lagi pelajar cemerlang daripada keluarga susah yang ditemuinya ketika melakukan ziarah di Kampung Pahat, Gerik, baru-baru ini.
Pelajar berkenaan turut menangguhkan pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang bagi mengumpul wang, memandangkan bapanya terlantar akibat serangan angin ahmar manakala ibunya juga uzur.
“InsyaAllah untuk kedua-dua kes ini, saya akan bantu segera dan pastikan mereka dapat menyambung pengajian dengan segala bantuan yang diperlukan. Saya sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa hanya Ilmu yang boleh merubah kehidupan,” katanya lagi,” katanya lagi.
Komitmen bantu pelajar-pelajar cemerlang ingin sambung pelajaran
Perkongsian itu menunjukkan komitmen Asyraf untuk membantu kedua-dua pelajar berkenaan meneruskan pengajian agar kekangan kewangan tidak menjadi penghalang kepada masa depan mereka.
Kisah pelajar cemerlang yang menjadi penghantar makanan itu tular selepas seorang pencipta kandungan media sosial berkongsi video sewaktu menemu bual pemuda tersebut.
Dia menyatakan kekangan kewangan keluarga membuatkan dirinya terpaksa menangguhkan impian menyambung pengajian.
Penghantar makanan terbabit juga mengakui memasang impian untuk melanjutkan pengajiannya di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Sumber: Facebook Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Instagram taylor__8




