Jerebu rentas sempadan: ISWAMI Malaysia desak tindakan tegas, menyeluruh demi kepentingan rakyat

Jerebu rentas sempadan: ISWAMI Malaysia desak tindakan tegas, menyeluruh demi kepentingan rakyat

nurul_husna@mediaprima.com.my

​Kuala Lumpur: Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI Malaysia) menggesa tindakan segera, tegas dan menyeluruh dilaksanakan bagi menangani ancaman jerebu rentas sempadan yang kembali menjejaskan kualiti udara di negara ini.

Pemangku Presiden ISWAMI Malaysia Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman berkata, isu jerebu bukan sekadar isu alam sekitar, sebaliknya membabitkan kesihatan awam, kesejahteraan rakyat dan tanggungjawab bersama negara serantau.

Beliau berkata, masalah yang berulang itu memerlukan penyelesaian menyeluruh dan bukannya sekadar tindakan kecemasan apabila keadaan semakin memburuk.

​Katanya, ISWAMI Malaysia turut menggariskan lima keutamaan merangkumi perlindungan kesihatan rakyat menerusi pemantauan kualiti udara, penyampaian maklumat tepat dan nasihat kesihatan khusus bagi golongan berisiko, selain menyarankan orang ramai merujuk bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) serta arahan pihak berkuasa.

“Langkah seterusnya mencakupi pemerkasaan pencegahan dan penguatkuasaan di Indonesia menerusi pemadaman kebakaran, pencegahan pembakaran terbuka dan tindakan tegas terhadap pihak yang melanggar undang-undang.

“Kerjasama bilateral Malaysia-Indonesia perlu ditingkatkan menerusi perkongsian data titik panas (hotspot), pemantauan pergerakan asap, pertukaran maklumat, bantuan teknikal serta operasi pemadaman bersama jika diperlukan.

“ISWAMI Malaysia turut menekankan kepentingan memperkukuh komitmen ASEAN dalam kesiapsiagaan dan tindak balas kecemasan demi merealisasikan rantau bebas jerebu.

“Pada masa sama, pelaporan media yang tepat, berimbang dan beretika perlu digalakkan dengan mengutamakan fakta, pandangan pakar serta suara masyarakat terjejas tanpa menyalahkan keseluruhan rakyat sesebuah negara,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

​

Ahmad Zaini juga menegaskan bahawa hubungan erat antara Malaysia dan Indonesia harus dijadikan asas untuk membincangkan isu berkenaan secara terbuka dan matang tanpa mengetepikan kepentingan rakyat.

Beliau berkata, isu jerebu rentas sempadan tidak boleh terus dianggap sebagai masalah bermusim tanpa penyelesaian jangka panjang yang berkesan dan boleh diukur.

“Kerjasama yang ikhlas, akauntabiliti yang jelas serta tindakan berkesan mampu memastikan ancaman jerebu tidak terus berulang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top