Manchester: Eddie Howe dilaporkan berminat untuk menjadi pengurus Manchester United seterusnya sekiranya kelab itu memutuskan untuk berpisah dengan Michael Carrick.
Bekas bos Newcastle itu kini sedang berehat daripada dunia bola sepak, namun menganggap jawatan di Old Trafford sebagai satu peluang yang sangat menarik di tengah-tengah permulaan hambar United musim ini.
United sedang mengekalkan semua pilihan mereka terbuka susulan permulaan musim Liga Perdana Inggeris yang sukar.
Howe dilaporkan berminat untuk mengambil alih tugas di Old Trafford sekiranya pihak kelab membuat keputusan untuk memecat Carrick.
Menurut Football Insider, pengendali berusia 48 tahun itu terbuka untuk berbincang dengan pegawai United jika jawatan terbabit dikosongkan.
Howe kini tidak mengendalikan mana-mana kelab selepas meninggalkan Newcastle pada musim panas lalu.
Carrick mengharungi kempen yang mengecewakan setakat ini, menyebabkan pasukannya kini berada pada kedudukan ke-13 dalam carta liga.
United hanya berjaya mengumpul enam mata daripada enam perlawanan pembukaan liga yang diakhiri dengan keputusan seri 1-1 menentang Tottenham, baru-baru ini.
Meskipun menerima penelitian dan kritikan yang kian meningkat, United tidak merancang untuk membuat pertukaran pengurus secara tergesa-gesa.
Pihak atasan kelab mahu memberikan Carrick peluang untuk memulihkan keadaan dan mengelakkan keputusan terburu-buru seawal ini.
Bagaimanapun, Howe berada dalam kedudukan yang kukuh sebagai pilihan sandaran utama di mana pengendali dari England itu difahamkan melihat jawatan Red Devils sebagai satu peluang yang amat menarik untuk dipertimbangkan sebagai langkah kerjaya seterusnya.
Pegawai United dilaporkan menilai Howe dengan tinggi sebagai calon pengganti yang berpotensi.
Mereka menghargai pengalaman luas beliau di Liga Perdana Inggeris (EPL) serta pengalaman Liga Juara-Juara yang dimilikinya sepanjang berada di utara timur England itu.
Howe mempunyai reputasi yang sangat baik susulan tempoh perkhidmatannya yang penuh transformasi di St James’ Park.
Beliau mengambil alih pasukan pada tahun 2021 ketika kelab berdepan ancaman penyingkiran yang serius dan berjaya mengubah nasib mereka sepenuhnya.
Sepanjang tempoh kendaliannya, Howe membimbing bekas pasukannya itu layak ke Liga Juara-Juara dan menghadiahkan trofi domestik utama pertama mereka dalam tempoh 70 tahun.
Beliau akhirnya melepaskan jawatan pada musim panas ini dengan Matthias Jaissle mengambil alih tempatnya sebagai pengganti.
© New Straits Times Press (M) Bhd




