Zii Jia mahu terus bangkit

Zii Jia mahu terus bangkit

KEMARAAN ke separuh akhir Terbuka Artik Sabtu lalu menjadi suntikan keyakinan buat Lee Zii Jia untuk meneruskan kebangkitan dan membawa momentum positif itu ke kejohanan seterusnya dalam Jelajah Dunia.

Pemain perseorangan lelaki profesional negara itu mempamerkan peningkatan prestasi di Vantaa, Finland apabila bermula dari pusingan kelayakan sebelum melangkah ke kelompok empat terbaik kejohanan berstatus Super 500 tersebut.

Bagaimanapun, langkah Zii Jia terhenti di separuh akhir selepas tewas kepada pemain Denmark, Anders Antonsen yang berada di ranking keenam dunia sebelum muncul juara Terbuka Artik.

“Banyak perkara positif yang boleh saya ambil daripada minggu ini. Dari satu perlawanan ke satu perlawanan, saya memperoleh banyak keyakinan dan berharap dapat membawanya ke kejohanan akan datang,” katanya menerusi perkongsian di media sosial BWFEurope.

Zii Jia turut menghargai sokongan peminat yang terus memberikan semangat kepadanya ketika berusaha mengembalikan prestasi terbaik.

“Terima kasih kerana terus menyokong saya sepanjang perjalanan ini. Saya akan terus berjuang walau apa pun yang berlaku,” katanya.

Menariknya, Antonsen yang juga rakan rapat Zii Jia memberikan kata-kata semangat selepas pertemuan mereka, dengan mengingatkan pemain negara itu supaya terus mempercayai kemampuan diri dan tidak berputus asa.

Zii Jia berpeluang meneruskan momentum kebangkitan di Terbuka Denmark yang bermula di Odense esok, namun penyertaannya masih belum terjamin.

Ini kerana beliau disenaraikan sebagai pemain simpanan keempat bagi kejohanan berstatus Super 750 itu dan hanya berpeluang beraksi sekiranya berlaku penarikan diri pemain lain.

Jika terlepas peluang beraksi di Denmark, Zii Jia dijangka kembali menguji kemampuan di pentas Jelajah Dunia menerusi Terbuka Hylo di Saarbrucken, Jerman, dari 27 Oktober hingga 1 November.

Scroll to Top