Jakarta: Percubaan seorang penuntut menyeludup masuk empat kilogram (kg) dadah jenis syabu dari Port Dickson, Negeri Sembilan ke Indonesia gagal apabila diberkas di Tanjung Balai, wilayah Sumatera Utara pada Sabtu lalu, lapor laman berita Kumparan.
Suspek lelaki berusia 21 tahun dikenali sebagai DO itu ditahan sejurus tiba di Terminal Ketibaan Feri Antarabangsa Teluk Nibung, kira-kira jam 4.30 petang (waktu tempatan) kelmarin.
Ketua Pejabat Cukai dan Kastam Teluk Nibung berkata, penahanan suspek yang berasal dari Medan Denai itu dibuat hasil pemprofilan penumpang serta imbasan mesin sinar-X menunjukkan barang mencurigakan pada beg pakaian dibawanya.
“Pemeriksaan fizikal secara terperinci dengan disaksikan sendiri oleh suspek menemukan lapan bungkusan plastik lutsinar mengandungi kristal putih yang disembunyikan di dalam dinding khas beg pakaian suspek.
“Ujian saringan menggunakan alat pengesan mengesahkan kristal putih ini adalah methamphetamine atau syabu dengan berat keseluruhan mencecah 4,000 gram,” katanya.
Suspek bersama barang kes termasuk telefon bimbit, tiket perjalanan dan pasport diserahkan kepada polis Tanjung Balai untuk tindakan serta siasatan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




