am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Empat lelaki dan seorang wanita warga Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, Jepun, selepas disyaki cuba menyeludup kira-kira lima kilogram kokain bernilai 120 juta yen (RM3.1 juta) yang disembunyikan di bawah pelapik kasut, Sabtu lalu.
Kumpulan itu dipercayai membawa dadah berkenaan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di Sepang sebelum kegiatan mereka terbongkar ketika pemeriksaan kastam sejurus tiba di Jepun.
Menurut laporan Fuji News Network (FNN), kegiatan itu terbongkar selepas pegawai kastam mengesyaki seorang daripada suspek yang memakai kasut bertapak terlalu tebal.
Pemeriksaan awal menemukan kokain di bawah pelapik kasut dua suspek sebelum pegawai kastam mengesan tiga lagi individu yang dipercayai datang bersama mereka.
Tokyo Reporter yang memetik Nippon News Network (NNN) melaporkan, ketiga-tiga individu berkenaan turut menyembunyikan kokain menggunakan kaedah sama.
TBS News DIG pula melaporkan, setiap suspek menyembunyikan kira-kira satu kilogram kokain, masing-masing 500 gram di bawah pelapik kasut kiri dan kanan.
Salah seorang daripada lima suspek berusia 24 tahun mendakwa menerima tawaran upah RM8,000 seorang untuk membawa dadah ke luar negara menerusi aplikasi Telegram.
Menurut laporan itu, suspek turut diberikan sepasang kasut untuk digunakan bagi menyembunyikan dadah berkenaan.
Sementara itu, laporan NHK menyebut empat suspek mengaku terhadap dakwaan ketika disoal siasat, manakala seorang wanita berusia 25 tahun menafikannya.
Wanita berkenaan mendakwa dia tidak mengetahui bungkusan yang dibawanya mengandungi kokain.
Polis Metropolitan Tokyo kini menyiasat kemungkinan kumpulan itu direkrut oleh sindiket jenayah yang berpangkalan di Malaysia untuk menjalankan kegiatan penyeludupan dadah antarabangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




