PRU16: Jika Pas menang lebih banyak kerusi, sanggupkah BN serah jawatan PM? – AMK

PRU16: Jika Pas menang lebih banyak kerusi, sanggupkah BN serah jawatan PM? – AMK

Angkatan Muda Keadilan (AMK) mempersoalkan kesediaan Barisan Nasional (BN) untuk menerima pemimpin Pas sebagai calon Perdana Menteri sekiranya kedua-dua parti itu menjalinkan kerjasama pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Foto: Astro Awani

Memetik laporan Sinar Harian, Exco AMK, Dzul Hilmi Zainol berkata, persoalan itu turut melibatkan pendirian Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), khususnya jika Pas muncul sebagai parti yang memenangi lebih banyak kerusi Parlimen berbanding BN.

Menurutnya, kemungkinan tersebut tidak boleh diketepikan memandangkan Pas ketika ini mempunyai jumlah Ahli Parlimen paling ramai dalam kalangan parti politik.

Beliau berkata, sekiranya kerjasama BN-Pas benar-benar menjadi kenyataan, kedua-dua pihak perlu terlebih dahulu mencapai persetujuan mengenai individu yang bakal menerajui kerajaan Persekutuan.

“Jika perkara sepenting ini pun masih belum dapat disepakati, bagaimana mahu meyakinkan rakyat bahawa mereka mampu membentuk sebuah kerajaan yang stabil?
“Persoalannya, jika Pas menang lebih banyak kerusi Parlimen berbanding BN, adakah BN bersedia menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Pas?
“Sebaliknya, jika BN mendapat lebih banyak kerusi, adakah Pas bersedia menerima calon daripada BN? Bagaimana pula dengan pendirian GPS dan GRS dalam menentukan siapa yang bakal menerajui kerajaan Persekutuan?” katanya dalam satu kenyataan.

Dzul Hilmi turut berpandangan bahawa kerjasama politik tidak seharusnya tertumpu kepada usaha mengumpul sokongan dan kerusi Parlimen semata-mata, sebaliknya perlu disertai persefahaman mengenai kepimpinan serta dasar pentadbiran negara.

Dalam masa sama, beliau menyifatkan Pakatan Harapan (PH) mempunyai kelebihan dari aspek kepastian kepimpinan kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan Perdana Menteri sedia ada yang prestasi pentadbirannya boleh dinilai rakyat.

“Rakyat boleh meneliti dasar ekonomi, pembangunan sosial serta langkah-langkah yang telah dilaksanakan sepanjang tempoh pentadbiran beliau, sebelum membuat penilaian sendiri menjelang PRU16.
“Namun, kita tidak boleh hanya bergantung pada nama dan rekod seseorang pemimpin. Apa yang lebih penting ialah kemampuan kerajaan untuk meneruskan reformasi, memperkukuh ekonomi rakyat, menangani kos sara hidup dan memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada pembangunan negara,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan rakyat berhak mengetahui calon yang bakal memimpin negara sebelum membuat pilihan dalam PRU16.

Katanya, jawatan Perdana Menteri bukan ganjaran politik kepada mana-mana parti, sebaliknya amanah besar yang menuntut tanggungjawab terhadap rakyat.

“Akhirnya, PRU16 bukan sekadar pertandingan menentukan parti mana yang mempunyai kerusi paling banyak. Ia adalah pilihan rakyat untuk menentukan siapa yang mempunyai kepimpinan, dasar dan hala tuju yang mampu membawa Malaysia ke hadapan,” tegasnya.

Sumber: Sinar Harian

Scroll to Top