Kerajaan tidak menolak kemungkinan memanfaatkan pelarian berdaftar bagi memenuhi keperluan tenaga kerja dalam sektor ekonomi tertentu, namun langkah itu masih tertakluk kepada proses pendataan dan tapisan keselamatan yang ditetapkan.
Cadangan boleh dipertimbangan
Memetik laporan Astro Awani, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan cadangan berkenaan boleh dipertimbangkan selepas kerajaan memperoleh data lengkap mengenai pelarian yang berada di Malaysia, termasuk maklumat berkaitan usia dan potensi mereka untuk bekerja.
Menurutnya, maklumat tersebut penting bagi mengenal pasti individu yang masih dalam usia produktif serta menilai kesesuaian mereka berdasarkan keperluan sebenar tenaga kerja negara.
“Kalaulah kita boleh kumpulkan data 225,000 orang ini, kemudian kita pisahkan mereka yang masih dalam umur produktif dan telah melalui tapisan, kita ada data untuk membuat keputusan.
“Keperluan tenaga kerja tidak semestinya kita ambil dari luar. Kita boleh semak dengan data pendaftaran pelarian sedia ada,” katanya ketika menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) di Dewan Rakyat.

Lima sektor ada keperluan
Saifuddin menambah, Malaysia mempunyai keperluan pekerja asing dalam lima sektor ekonomi utama, iaitu pembuatan, perkhidmatan, pertanian, pembinaan dan perladangan.
Had pengambilan pekerja asing pula ditetapkan pada 10 peratus daripada jumlah guna tenaga negara.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa cadangan melibatkan pelarian berdaftar itu masih pada peringkat pertimbangan dan belum menjadi keputusan muktamad kerajaan.
Foto: Berita Harian
Difahamkan, kerajaan sedang melaksanakan proses pendataan bagi mendapatkan maklumat lebih terperinci berbanding anggaran kira-kira 225,000 pelarian yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Proses berkenaan merangkumi pengumpulan maklumat nama, umur, lokasi dan jantina, selain tapisan polis serta imigresen dan pengambilan data biometrik bagi membantu kerajaan merangka dasar awam yang lebih bersesuaian.
Saifuddin turut menjelaskan bahawa terdapat tiga kemungkinan bagi pelarian di Malaysia, iaitu penempatan semula ke negara ketiga seperti Australia, New Zealand dan Kanada, penghantaran pulang secara sukarela atau kekal di Malaysia tertakluk kepada undang-undang negara.
Bagi pelarian yang ditempatkan di depot imigresen, kerajaan menyasarkan kira-kira 4,000 individu menjalani proses pendataan dan tapisan.
Dalam pada masa yang sama, beliau meminta agar orang ramai dapat menyalurkan aduan berkaitan salah laku atau pelanggaran undang-undang kepada pihak berkuasa dan tidak mengambil tindakan sendiri.

Mengulas penghantaran pulang warga Myanmar, Saifuddin berkata kerajaan negara itu bersetuju menerima kepulangan rakyatnya secara sukarela serta bekerjasama dalam proses tapisan menerusi perbincangan dua hala dan mekanisme ASEAN.
Beliau menegaskan bahawa pendataan, tapisan keselamatan dan kerjasama antara negara penting bagi membantu kerajaan menguruskan isu pelarian secara lebih menyeluruh.
Sumber: Astro Awani (Yasmin Natasha)




