Inkues: Ibu Zara Qairina enggan benarkan bedah siasat walau polis jelaskan – Saksi

Inkues: Ibu Zara Qairina enggan benarkan bedah siasat walau polis jelaskan – Saksi

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir enggan membenarkan pemeriksaan bedah siasat dijalankan ke atas jenazah anaknya, walaupun selepas menerima penjelasan polis, Mahkamah Koroner hari ini diberitahu.

Pegawai Penyiasat, Inspektor Wong Yew Zhung, berkata beliau bertemu Noraidah Lamat di Hospital Queen Elizabeth (QEH) pada 17 Julai 2025, selepas Zara, 13, disahkan meninggal dunia pada jam 1.07 tengah hari.

Saksi ke-83 itu berkata, beliau menerima panggilan telefon daripada Dr Pavankumar Balachandran pada jam kira-kira 1.35 tengah hari, yang memaklumkan Zara meninggal dunia akibat “kecederaan otak traumatik teruk dengan hypoxic ischemic encephalopathy.

Hypoxic ischemic encephalopathy adalah kerosakan atau gangguan fungsi otak yang berlaku akibat kekurangan bekalan oksigen dan penurunan aliran darah ke otak secara signifikan.

Susulan panggilan itu, Yew Zhung dan jurugambar bertugas bergegas ke QEH dan tiba kira-kira jam 3.30 petang, di mana mereka bertemu Dr Pavankumar dan Noraidah di Wad Neuro Pembedahan.

“Ketika di wad, saya memaklumkan dan menjelaskan kepada ibu Zara bahawa pemeriksaan bedah siasat akan dijalankan ke atas jenazah anaknya bagi membantu siasatan berhubung kematiannya.

“Bagaimanapun, ibu Zara menjawab, ‘Tidak’, dan enggan membenarkan bedah siasat dijalankan.

“Saya menjelaskan semula mengenai pemeriksaan bedah siasat kepadanya, tetapi beliau tetap berpendirian tegas dengan berkata, ‘Tidak. Saya mahu mengebumikannya dengan segera,'” katanya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Menurut Yew Zhung, berikutan itu, tiada borang POL 61 dikeluarkan, iaitu permohonan polis untuk pemeriksaan bedah siasat, kerana Noraidah menolak prosedur terbabit dan punca kematian Zara sudah dikenal pasti.

Beliau berkata Noraidah turut menandatangani beberapa dokumen pada 17 Julai 2025 sebelum jenazah diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.

Antaranya, Pengisytiharan Penolakan Sukarela Bedah Siasat, di mana dia mengakui tidak berhasrat menjalankan bedah siasat, tidak mengesyaki unsur jenayah dan tidak akan meminta laporan bedah siasat daripada hospital bagi tujuan mediko-legal, insurans atau tuntutan lain.

Dua lagi dokumen ialah Borang Pemberitahuan Kematian dan Pengurusan Mayat serta Pengisytiharan Pengesahan Urusan Pengebumian.

Bagaimanapun Yew Zhung berkata, beliau kemudiannya memohon perintah untuk menggali semula kubur Zara pada 9 Ogos 2025 berikutan arahan daripada Jabatan Peguam Negara.

Menurut saksi itu, perintah diperoleh daripada Majistret Zuraini Ali Musa pada kira-kira jam 3 petang hari yang sama, di bawah Seksyen 335(2) Kanun Tatacara Jenayah.

Yew Zhung dan pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar, dibantu Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, kemudian bertolak ke Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi di Kampung Mesapol Lama, Sipitang.

Proses menggali semula kubur selesai pada malam berkenaan sebelum mayat Zara dibawa ke Jabatan Forensik QEH untuk pemeriksaan bedah siasat.

Pegawai Penyiasat itu menjelaskan, pemeriksaan bermula kira-kira jam 11 pagi pada 10 Ogos 2025, diketuai Pakar Patologi Forensik Dr Jessie Hiu, dibantu tiga doktor lain, iaitu Dr Khairul Anuar Zainun, Dr Muhammad Uzair Ahmad Suriani dan Dr Lau Cheng Cheng.

“Turut hadir ketika prosedur ialah, ialah Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Papar, Asisten Komisioner Rosli Rasi, saya sendiri, Inspektor Desmond Tanggapan, ibu Zara serta wakil undang-undangnya, Shahlan Jufri,”

Katanya, berdasarkan penemuan bedah siasat, Dr Jessie merumuskan punca kematian Zara adalah kecederaan otak traumatik teruk dengan hypoxic ischaemic encephalopathy.

“Punca kematian ditentukan Dr Jessie susulan bedah siasat adalah sama seperti yang disahkan pada 17 Julai 2025.

“Pemeriksaan Dr Jessie terhadap kecederaan pada badan Zara juga menunjukkan ia konsisten dengan kecederaan akibat jatuh dari tempat tinggi,” katanya.

Noraidah, yang selesai memberikan keterangan semalam, hadir pada prosiding hari ini dan duduk di galeri awam bersama kakak iparnya, Nur Shira.

Inkuiri berkenaan bermula pada 3 September 2025 bagi menentukan punca dan keadaan kematian Zara, termasuk sama ada wujud sebarang unsur jenayah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top