'Saya terkejut lihat mayat terperosok di dalam longkang berhampiran gerai saya usahakan'

'Saya terkejut lihat mayat terperosok di dalam longkang berhampiran gerai saya usahakan'

am@hmetro.com.my

Bukit Mertajam: “Saya terkejut melihat mayat terperosok di dalam longkang berhampiran gerai makanan yang saya usahakan,” kata seorang peniaga makanan di Pasar Awam Sama Gagah, di sini, hari ini.

Katanya yang enggan dikenali, sebelum itu, dia yang mahu memulakan perniagaan mendapati, ramai berkerumun berhampiran gerainya.

Dia kemudiannya mendapati ada mayat di dalam longkang dan tambahnya, sepanjang 15 tahun berniaga di lokasi berkenaan, ini kejadian pertama berlaku di situ.

Menurutnya, kawasan pasar itu sering menjadi lokasi persinggahan dan tempat melepak segelintir individu di luar waktu operasi.

“Gerai makanan di pasar ini beroperasi daripada jam 7 pagi hingga 11.30 pagi. Selepas itu, kawasan ini memang terbuka dan pada waktu petang hingga malam, ada juga yang datang melepak.

“Peniaga tidak menghalang apa yang mereka mahu lakukan di kawasan ini, asalkan ia tidak mengganggu atau melakukan perkara yang tidak diingini.

“Tapi pagi ini kami benar-benar terkejut dengan penemuan mayat, lebih-lebih lagi saya kerana ia ditemukan betul-betul di longkang berhampiran gerai saya,” katanya ditemui di lokasi.

Menurutnya, sebahagian peniaga di pasar itu mengenali mangsa yang dipercayai warga tempatan berusia lingkungan 50-an kerana dia sering mengunjungi pasar berkenaan.

“Mangsa memang selalu datang ke sini, dan ramai peniaga mengenalinya.

“Setakat yang kami tahu, dia tidak pernah menimbulkan sebarang masalah. Biarlah polis jalankan siasatan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, pengunjung Pasar Awam Sama Gagah gempar selepas menemui mayat seorang lelaki yang berbalut kain di dalam longkang di kawasan pasar berkenaan.

Mayat lelaki itu ditemukan dalam keadaan terbaring, jam 7 pagi sebelum orang awam menghubungi polis bagi memaklumkan penemuan berkenaan.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Dennis Lim Kwang Keng mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan bahawa siasatan lanjut sedang dijalankan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top