am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Barisan Nasional (BN) memberi bayangan sudah mempunyai rakan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka selepas rundingan mencapai 90 peratus persefahaman, namun menegaskan keutamaan diberikan kepada sekutu yang jujur dan tidak ‘menikam dari belakang’.
Soal parti mana yang menjadi pilihan BN untuk bekerjasama, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bagaimanapun enggan memberikan perincian lanjut namun memberi bayangan parti yang boleh dijadikan sebagai kawan.
“Kita mudah sahaja, bila berkawan kena kawan betul-betul. Jangan kawan tikam kawan.
“Jangan kawan di depan tetapi belakangnya diintimidasi dengan pelbagai cara yang tidak sewajarnya kita dalam keadaan berkawan ini,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Program Siri Jelajah MRSM dan Media Prima: MRSM Bintang Media 2026 di Balai Berita di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah MARA, Shahrizal Mohd Saderi serta Pengarang Urusan Kumpulan Berita & Hal Ehwal Semasa (NCA) Media Prima, Jasbant Singh dan Timbalannya merangkap / Pengarang Kumpulan New Straits Times, Datuk Farrah Naz Karim.
Turut hadir, Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa Rangkaian Televisyen merangkap Pengurus Besar Kanan, Advertorial dan Sokongan Perniagaan, Berita dan Hal Ehwal Semasa / NSTP, Datuk Azhari Muhidin dan Ketua Pegawai Operasi The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad, Luqman Adrine Ja’Afar.
Menurut Asyraf barisan kepimpinan BN akan memuktamadkan soal kerjasama dengan pihak berkenaan dalam masa terdekat.
“Saya boleh katakan rundingan hanya tinggal 10 peratus sahaja. Maknanya secara kerangka asasnya, sudah kita capai kata putus.
“Setakat ini BN akan terus mempertahankan 21 kerusi yang dimenangi sebelum ini dengan tujuh kerusi yang masih dalam rundingan termasuk soal pertukaran kerusi,” katanya.
Mengulas lanjut, Asyraf berkata, setakat rundingan berjalan lancar termasuk berkaitan pertukaran kerusi dengan masing-masing sedia untuk berkompromi demi perpaduan ummah.
“Saya boleh katakan, rundingan ini cukup konstruktif dan kita tidak ada banyak sangat masalah kerana masing-masing sedia untuk berkompromi.
“(Perkara) paling utama, kita tidak boleh menafikan hasrat rakyat yang mahu melihat perpaduan ummah terutamanya antara dua parti politik terbesar Melayu ini dapat kita realisasikan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, BN akan mengumumkan keputusan kerjasama dengan gabungan politik lain bagi menghadapi PRN Melaka selepas mesyuarat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 7 Oktober lalu.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, rundingan dengan pihak berkaitan masih berjalan dan dijangka dimuktamadkan selepas SPR membuat keputusan berhubung PRN berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




