razis@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Majlis Amanah Rakyat (MARA) berharap semua peruntukan yang diluluskan dalam Belanjawan 2027 benar-benar disalurkan supaya ia dapat dilaksanakan mengikut perancangan.
Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu penting berikutan pengalaman sebelum ini, peruntukan yang diluluskan tidak sampai pada peringkat pelaksanaan.
“Saya mengharapkan satu sahaja, apa juga peruntukan yang diluluskan dalam belanjawan, ia benar-benar dapat disalurkan sebagaimana yang diluluskan.
“Apa yang berlaku sebelum ini, bajet diluluskan tetapi apabila sampai ke peringkat pelaksanaan, peruntukan tidak sampai. Itu yang membuatkan kita berasa ralat, khususnya MARA,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Program Siri Jelajah MRSM dan Media Prima: MRSM Bintang Media 2026 di Balai Berita, di sini, hari ini.
Hadir sama Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah MARA Shahrizal Mohd Saderi, Pengarang Urusan Kumpulan Berita & Hal Ehwal Semasa (NCA) Media Prima Berhad (MPB) Jasbant Singh dan timbalannya yang juga Pengarang Kumpulan New Straits Times Datuk Farrah Naz Karim.
Turut hadir Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa Rangkaian Televisyen MPB merangkap Pengurus Besar Kanan Advertorial dan Sokongan Perniagaan, Berita dan Hal Ehwal Semasa/NSTP Datuk Azhari Muhidin serta Ketua Pegawai Operasi The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad Luqman Adrine Ja’Afar.
Beliau berkata, sebanyak 70 peratus daripada peruntukan belanjawan MARA membabitkan sektor pendidikan termasuk pembiayaan untuk anak Melayu dan Bumiputera.
“Ia bukan sahaja membabitkan 345 institusi pendidikan MARA tetapi juga untuk penuntut yang kita taja di universiti lain dan di luar negara,” katanya.
Dalam Belanjawan 2027, kerajaan turut memberi perhatian kepada pembangunan semula pusat penjaja dan gerai MARA serta pelaksanaan inisiatif Tamu Desa di Sabah dan Sarawak.
Selain itu, MARA diberi peranan melatih dan menempatkan 1,000 belia Bumiputera dalam sektor berpertumbuhan tinggi.
Kemahiran pelatih pendawaian elektrik GIATMARA akan dimanfaat bagi membaik pulih pendawaian 20,000 rumah keluarga miskin.
© New Straits Times Press (M) Bhd




