Malaysia manfaat kepakaran China amaran bencana 

Malaysia manfaat kepakaran China amaran bencana 

BEIJING: Malaysia berhasrat memanfaatkan kepakaran China dalam sistem amaran awal bencana bagi memperkukuh kesiapsiagaan negara menghadapi ketidaktentuan cuaca sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).

 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sistem berasaskan satelit itu berupaya membekalkan maklumat ramalan cuaca yang lebih menyeluruh dan tepat, sekali gus memudahkan langkah mitigasi dilaksanakan kerajaan. 

Memuatkan artikel berkaitan…

 

Ahmad Zahid berkata data berkenaan dapat membantu Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran tepat pada masanya di kawasan berisiko bencana, khususnya apabila jumlah hujan dan tiupan angin melebihi ramalan awal.

 

“Dalam aspek bencana, kita akan mendapatkan kerjasama daripada pihak China dari segi ramalan cuaca global, merangkumi peralatan serta sistem berasaskan satelit.

 

“Sebagai jabatan utama yang membekalkan maklumat berkaitan cuaca kepada umum, adalah penting untuk MetMalaysia mempunyai sokongan dari sudut peralatan untuk menyediakan ramalan cuaca yang lebih cepat dan tepat,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

 

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah kini dalam rangka lawatan kerja lima hari ke Beijing dan Tianjin bermula semalam.

 

Beliau berkata cadangan kerjasama itu akan dibincangkan dengan Menteri Keselamatan Awam China, Wang Xiaohong, termasuk usaha mempercepat pemerolehan sistem berkenaan.

 

Mengenai persiapan menghadapi Monsun Timur Laut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata agensi kerajaan kini berada pada tahap kesiapsiagaan lebih baik berbanding sebelumnya.

 

Beliau berkata pusat pemindahan sementara (PPS) sedia ada juga dinaik taraf selain Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah melakukan persiapan awal bersama jawatankuasa pengurusan bencana peringkat pusat, negeri dan daerah bagi mengurus dan mengurangkan impak bencana tersebut.

 

“Atas kesiapsiagaan yang dibuat, kita dapat lihat kerugian akibat banjir sekitar RM960 juta yang direkodkan pada 2024 telah dapat dikurangkan kepada RM600 juta tahun lepas.

 

“Saya harap dengan tindakan awal yang dibuat serta kerjasama dengan pihak Kerajaan China, kita akan dapat melakukan persiapan lebih awal bagi melakukan kerja-kerja pemindahan mangsa-mangsa banjir,” katanya.-BERNAMA

Scroll to Top