'Petugas kesihatan di Sarawak bekerja dalam keadaan tertekan' – Ahli Parlimen Sri Aman

'Petugas kesihatan di Sarawak bekerja dalam keadaan tertekan' – Ahli Parlimen Sri Aman

nooratiqah.sulaiman@bh.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) didesak untuk mengemukakan jumlah sebenar pegawai perubatan yang ditawarkan untuk berkhidmat dan hadir untuk melaporkan diri di Sabah dan Sarawak.

Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Seri Doris Sophia Brodi, berkata petugas kesihatan di Sarawak kini bekerja dalam keadaan tertekan.

Katanya, apa yang lebih membimbangkan data menunjukkan hanya enam pegawai perubatan hadir melaporkan diri di Hospital Sri Aman berbanding 20 individu yang dijadualkan berkhidmat di hospital berkenaan.

“Jadi saya minta KKM sahkan angka ini dan nyatakan jumlah sebenar pegawai perubatan yang ditawarkan penempatan, melaporkan diri dan tidak melaporkan diri di hospital dan klinik ditetapkan.

“KKM juga perlu nyatakan, apakah langkah segera yang akan diambil untuk mengatasi kekurangan ini kerana situasi berkenaan akan bebankan petugas sedia ada serta jejaskan keselamatan pesakit,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027, di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Doris Sophia berkata, beliau mengalukan pengumuman penawaran jawatan tetap kepada doktor kontrak serta kenaikan insentif pada paramedik, namun jelasnya masalah berkenaan perlu ditangani secara menyeluruh.

“Menerusi pengisian jawatan, kemudahan mencukupi, imbuhan munasabah dan perlindungan kebajikan petugas terutamanya mereka yang berkhidmat jauh di pedalaman.

“Tragedi nahas helikopter Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak sehingga mengorbankan lima petugas mengingatkan kita mengenai pengorbanan besar mereka yang menjalankan tanggungjawab di kawasan terpencil.

“Justeru isu keselamatan pengangkutan kemudahan perhubungan dan keadaankerja petugas di pendalaman mesti dinilai semula, jangan hanya hargai pengorbanan mereka selepas tragedi, keselamatan dan kebajikan mereka mesti dijamin ketika bertugas,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top