helmi.talkah@bh.com.my
Kuala Lumpur: Badi pusingan awal terus menghantui pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao selepas tersingkir pada pusingan pertama Terbuka Denmark di Arena SJF Bank, hari ini.
Jun Hao yang menghuni ranking ke-30 dunia tewas kepada wakil Jepun, Koki Watanabe yang berada di kedudukan ke-16 dunia, 6-21, 19-21 dalam tempoh 40 minit.
Selepas permulaan hambar pada set pertama, Jun Hao cuba bangkit pada set kedua dengan memberikan tentangan lebih sengit, malah mendahului 15-12 dan 17-16.
Bagaimanapun, Watanabe berjaya menyamakan kedudukan 17-17 sebelum mendahului 19-17.
Jun Hao kemudian mengikat kedudukan 19-19, namun pemain Jepun itu lebih tenang untuk menamatkan permainan dengan kemenangan 21-19.
Kemenangan itu menyaksikan Watanabe kini mendahului rekod pertemuan 4-3 ke atas Jun Hao.
Kekalahan berkenaan menyaksikan Jun Hao gagal melepasi pusingan awal, sama ada pusingan pertama atau kedua, dalam kesemua 11 kejohanan Jelajah Dunia disertainya tahun ini.
Pemain berusia 27 tahun itu juga tersingkir pada pusingan awal Kejohanan Badminton Asia, Kejohanan Dunia dan saingan individu Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Mengulas kekalahan itu, Jun Hao mengakui permulaannya yang perlahan serta pendekatan lebih bertahan pada set pertama menyukarkannya untuk memberi tekanan kepada lawan.
“Pada set pertama, saya bermula dengan agak perlahan dan lebih banyak bertahan. Pada set kedua, saya cuba meningkatkan tempo permainan dan memberi tekanan kepadanya pada setiap mata,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Jun Hao berkata, dia mengambil masa kira-kira seminggu selepas Sukan Asia untuk memulihkan kecergasan dan membuat persiapan menghadapi saingan di Eropah, namun mengakui tidak berpuas hati dengan persembahannya di Denmark.
Menjelang Terbuka Perancis minggu depan, dia berharap dapat mengekalkan aspek positif dalam permainannya dan memperbaiki kelemahan bagi memburu keputusan lebih baik.
“Saya hanya berharap dapat terus mengekalkan sikap positif terhadap permainan, mengekalkan pukulan-pukulan baik hari ini dan membawanya ke kejohanan minggu depan,” katanya.
Sementara itu, beregu campuran profesional negara, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien turut terkandas di pusingan pertama selepas tewas kepada gandingan Taiwan, Ye Hong Wei-Nicole Chan 21-19, 16-21, 19-21.
© New Straits Times Press (M) Bhd




