Perkukuh penyelidikan, pacu daya saing industri sawit negara – Noraini

Perkukuh penyelidikan, pacu daya saing industri sawit negara – Noraini

bhnews@bh.com.my

Kuala Lumpur: Penyelidikan dan inovasi dalam industri sawit perlu diperkukuh bagi meningkatkan produktiviti ladang, mengurangkan kehilangan hasil serta menambah pendapatan pekebun kecil.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, potensi sawit dalam empat sektor utama iaitu makanan, makanan ternakan, gentian dan bahan api perlu dimanfaatkan sepenuhnya menerusi pembangunan teknologi serta produk bernilai tambah.

Oleh itu, katanya, penyelidikan berterusan penting bagi mengenal pasti kaedah yang lebih berkesan untuk meningkatkan hasil, mengoptimumkan penggunaan sumber dan menangani cabaran yang dihadapi industri.

“Bahan tanaman yang ditambah baik dapat membantu meningkatkan hasil, manakala penyelidikan berkaitan tanah dan kesihatan tanaman membolehkan pengusaha menggunakan sumber dengan lebih berkesan.

“Selain itu, peralatan penuaian yang lebih baik pula dapat memudahkan kerja dan mengurangkan kehilangan hasil,” katanya ketika berucap pada Kongres Antarabangsa Minyak dan Lemak (OFIC) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Noraini berkata, pembangunan makanan ternakan berasaskan sawit turut menawarkan peluang untuk memperluas penggunaan sumber tempatan termasuk menerusi penambahbaikan kualiti hampas isirung sawit sebagai bahan ramuan makanan haiwan.

Katanya, penyelidikan dan percubaan dalam keadaan tempatan perlu dilaksanakan bagi menilai nilai pemakanan, kaedah pemprosesan serta keupayaan bahan berkenaan menawarkan kualiti konsisten pada kos kompetitif.

“Usaha itu berpotensi menyediakan pilihan tambahan kepada penternak yang berdepan peningkatan kos makanan ternakan,” katanya

Dalam sektor tenaga pula beliau berkata, penggunaan biojisim dan biogas daripada industri sawit boleh membantu meningkatkan kecekapan penggunaan sumber, selain menjana tenaga untuk kegunaan operasi kilang.

Katanya, efluen kilang kelapa sawit boleh dirawat bagi memerangkap gas metana untuk penghasilan biogas, sekali gus menyediakan kaedah mengurus pelepasan gas sambil mendapatkan semula tenaga daripada proses rawatan.

“Bagaimanapun, pelaksanaan teknologi berkenaan bergantung pada faktor seperti kos, saiz operasi, kemudahan infrastruktur dan permintaan terhadap tenaga yang dihasilkan,” katanya.

Susulan itu, beliau menekankan kepentingan kerjasama lebih erat antara penyelidik dan pemain industri bagi mempercepat pembangunan serta pengkomersialan inovasi.

Katanya, kerjasama sejak peringkat awal membolehkan keperluan operasi industri dikenal pasti, manakala ujian produk dan percubaan lapangan dapat membantu menentukan kesesuaian sesuatu teknologi sebelum digunakan secara lebih meluas.

“Industri boleh menjelaskan keperluan operasinya, manakala penyelidik boleh membantu menilai pilihan yang ada dan menambah baik penyelesaian,” katanya.

Noraini berkata, teknologi yang dibangunkan juga perlu praktikal, mudah digunakan dan mampu diakses oleh pekebun kecil, termasuk dari segi kos, latihan serta kemudahan penyelenggaraan.

Oleh yang demikian, beliau berharap OFIC 2026 menjadi platform untuk perkongsian ilmu dan penerokaan peluang kerjasama baharu, termasuk menerusi percubaan bersama, perkongsian penyelidikan dan pelaksanaan projek praktikal bagi memacu kemajuan industri sawit negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top