“Dah boleh bercakap, mahu makan” – Marina kongsi perkembangan terkini Tun Mahathir

“Dah boleh bercakap, mahu makan” – Marina kongsi perkembangan terkini Tun Mahathir

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan semakin pulih apabila sudah mampu bercakap dan menunjukkan selera makan ketika masih menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Perkembangan positif itu dikongsikan anak perempuannya, Datuk Marina Mahathir yang memaklumkan keadaan kesihatan bapanya kini semakin baik dan hampir kembali seperti biasa.

“Beliau semakin sihat. Boleh bercakap dan mahu makan, jadi okeylah. Hampir seperti biasa,” katanya ketika ditemui pada majlis tahlil Allahyarham ibunya, Tun Dr Hasmah Mohd Ali, pada Selasa.
Dr Mahathir yang masih dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) menunjukkan perkembangan kesihatan positif dan hampir kembali seperti biasa.

Kredit Foto: Sinar Harian

Majlis tahlil yang berlangsung di Yayasan Kepimpinan Perdana itu dihadiri kira-kira 200 pegawai dan bekas pegawai Allahyarham, selain ahli keluarga serta kenalan rapat.

Turut hadir ialah anak-anak Dr Mahathir, iaitu Tan Sri Mokhzani, Tan Sri Mirzan dan Datuk Seri Mukhriz.

Dalam pada itu, Marina turut berkongsi perasaan selepas kehilangan ibunya yang meninggal dunia di IJN, Kuala Lumpur pada 28 September lalu.

Menurutnya, meskipun hampir dua minggu berlalu, beliau masih sukar menerima hakikat bahawa insan tersayang itu sudah tiada.

Katanya, ada ketika beliau secara spontan teringin menghubungi ibunya untuk bertanyakan sesuatu, meninggalkan pesanan atau sekadar berkongsi cerita sebelum tersedar perkara itu tidak lagi dapat dilakukan.

“Kadangkala saya mahu bertanya sesuatu kepadanya, meninggalkan pesanan atau memberitahunya tentang sesuatu. Kemudian saya sedar saya tidak boleh berbuat demikian lagi,”ujar beliau.

Untuk rekod, Allahyarham Dr Hasmah menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.20 pagi, 28 September lalu sebelum dikebumikan di Pusara Negara, Putrajaya pada hari sama.

Sumber: Sinar Harian 

Scroll to Top