KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah mengetepikan isu Palestin, khususnya penderitaan rakyat Gaza, setiap kali menghadiri persidangan antarabangsa.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, isu tersebut sering kali dibangkitkan secara tegas termasuk berdepan secara langsung dengan pemimpin negara lain yang mempunyai pendirian berbeza mengenai konflik Palestin-Israel.
“Yang Amat Berhormat Perdana Menteri depan-depan muka Canselor Jerman Barat Canselor negara Jerman dia ‘taruk’ betul-betul, saya katakan kalau setakat bersuara di peringkat antarabangsa orang Malaysia tahu, beliau di mana saja dalam mesyuarat ASEAN tu tidak kisah sangat sebab rakan-rakan dia pun dibalunnya.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Tetapi di negara-negara lain seperti sidang BRICS, di dalam APEC dalam apa sahaja peluang ataupun peringkat antarabangs, Yang Amat Berhormat akan bersuara dengan keras dan tidak pernah tinggal agenda tentang Gaza.
“Ya ini saya akui sampai saya terpaksa cakap ‘Datuk Seri cukuplah-cukuplah sebab kita risau juga keselamatannya. Kadang-kadang keselamatan beliau pun perlu juga kita ambil,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata, Malaysia turut berjaya membawa pendirian bersama ASEAN mengenai Palestin apabila blok serantau itu mengeluarkan kenyataan bersama yang mengecam keganasan terhadap rakyat Palestin di Gaza serta pencerobohan peneroka di Tebing Barat.
“Semasa kepengerusian kita tempoh hari, kita dapat mengeluarkan kenyataan bersama daripada ASEAN yang mengecam keganasan yang dilakukan terhadap rakyat Palestin di Gaza dan pencerobohan oleh peneroka di Tebing Barat,” katanya.
Beliau berkata, pendirian negara-negara Eropah terhadap isu Palestin juga menunjukkan perubahan berbanding sebelum ini, sekali gus memberi ruang kepada usaha berterusan masyarakat antarabangsa untuk memperjuangkan hak rakyat Palestin.
“Malaysia akan terus membawa isu berkenaan ke peringkat antarabangsa bagi memastikan penderitaan rakyat Palestin, khususnya di Gaza, tidak diketepikan daripada agenda perbincangan global,” katanya.-UTUSAN




