am@hmetro.com.my
Tamparuli: Dakwaan tular menerusi aplikasi WhatsApp bahawa Jambatan Low Level Crossing (LL) Tamparuli tidak selamat digunakan adalah tidak tepat.
Setiausaha Politik Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Dr Bonaventure Boniface, berkata jambatan berkenaan boleh digunakan semula selepas kerja pembersihan selesai dilaksanakan dan keadaan air sungai kembali reda.
Beliau berkata keadaan laluan itu sebelum ini agak kotor susulan aliran deras sungai yang berlaku baru-baru ini.
“Bagaimanapun, pihak Globinaco sudah mengambil tindakan dengan melaksanakan kerja pembersihan di kawasan terbabit,” menurut kenyataan yang dikongsikan menerusi Facebook beliau.
Terdahulu, satu pesanan suara yang tersebar menerusi WhatsApp sejak petang tadi mendakwa jambatan berkenaan berada dalam keadaan senget dan mendap, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan pengguna jalan raya.
Rakaman itu turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkenaan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) atau pemimpin kawasan terbabit untuk perhatian dan tindakan sewajarnya.
Sehubungan itu, orang ramai diminta supaya tidak membuat kesimpulan berdasarkan maklumat yang belum disahkan, sebaliknya merujuk sumber sahih bagi mendapatkan perkembangan terkini.
Mereka turut dinasihatkan supaya tidak menyebarkan dakwaan yang boleh menimbulkan kebimbangan tanpa memastikan kesahihannya terlebih dahulu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




