Kuala Lumpur: Penganjuran Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 2 hingga 4 Oktober lalu menjana impak ekonomi hampir RM950 juta kepada negara, dengan penilaian kos-faedah sedang dilaksanakan bagi menentukan kesesuaian Malaysia kembali menganjurkan perlumbaan itu pada masa hadapan.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, berkata penilaian berkenaan dilaksanakan SIC bersama firma perunding yang dilantik bagi membandingkan manfaat ekonomi yang dijana dengan kos yang ditanggung dalam penganjuran berkenaan.
Beliau berkata, penilaian itu akan mengambil kira perincian kos penganjuran serta impak ekonomi sebelum hasilnya dijadikan antara asas pertimbangan kerajaan sekiranya Malaysia berhasrat kembali menganjurkan F1.
Katanya, penganjuran perlumbaan itu mendapat sambutan menggalakkan apabila kira-kira 261,000 peminat hadir sepanjang hujung minggu perlumbaan, termasuk 103,000 penonton pada hari perlumbaan.
“Berdasarkan maklumat daripada Formula 1 Management (FOM), penganjuran Formula 1 ini menjana impak ekonomi hampir RM950 juta kepada negara,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) yang meminta penjelasan mengenai anggaran manfaat ekonomi penganjuran F1 di Sepang berbanding kos yang ditanggung kerajaan, selain sama ada penilaian kos-faedah akan dilaksanakan bagi menentukan asas pertimbangan sekiranya Malaysia kembali menganjurkan F1 secara tetap.
Dr Mohammed Taufiq berkata, kejohanan itu turut meningkatkan promosi dan keterlihatan Malaysia di peringkat antarabangsa apabila disiarkan ke seluruh dunia dengan jumlah penonton mencecah 827 juta orang.
Berdasarkan data terkini laporan penjualan tiket kejohanan, lebih 97,000 tiket dianggarkan terjual, manakala lebih 50,000 pelancong antarabangsa dan kira-kira 5,000 tenaga kerja asing hadir ke Malaysia sempena penganjuran itu.
Katanya, kehadiran pengunjung dari luar negara turut memberi manfaat kepada sektor pelancongan, hospitaliti, penerbangan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan, selain memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi sukan dan pelaburan bertaraf dunia.
Beliau berkata, model penganjuran kali ini berbeza kerana kos hak penganjuran ditanggung oleh Bahrain, sekali gus membolehkan Malaysia menikmati manfaat ekonomi daripada kejohanan berkenaan.
“Penilaian kos-faedah itu sedang dilaksanakan memandangkan penganjuran F1 baru sahaja selesai, sebelum hasilnya digunakan sebagai antara asas pertimbangan kerajaan untuk menentukan hala tuju penganjuran F1 di Malaysia pada masa hadapan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




