4,289 kes salah laku buli direkod dari Mac hingga Ogos lalu

4,289 kes salah laku buli direkod dari Mac hingga Ogos lalu

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan (KPM) merekodkan sebanyak 4,289 kes salah laku buli bagi tempoh Mac hingga Ogos lalu termasuk kes yang berlaku di asrama.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 2,480 kes membabitkan buli fizikal, 1,386 kes buli lisan, 243 kes buli bukan lisan dan 180 kes buli siber.

“KPM memandang serius setiap kejadian buli yang membabitkan murid, sama ada di sekolah mahupun di asrama.

“Sehubungan itu, KPM terus memperkukuh pendekatan menangani buli secara menyeluruh, meliputi aspek penguatkuasaan, pengawasan persekitaran sekolah dan asrama, perlindungan mangsa, intervensi psikososial serta pembentukan karakter murid,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam, bagi menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) berhubung bilangan kes buli di sekolah dan asrama sejak Akta Antibuli 2026 berkuat kuasa serta penambahbaikan pemantauan asrama susulan pendedahan dalam inkues kematian Arwah Zara Qairina.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, angka kes yang direkodkan menunjukkan usaha menangani buli perlu dilaksanakan secara berterusan dan tidak terhad kepada tindakan disiplin semata-mata.

“Setiap aduan perlu diberikan perhatian sewajarnya, disiasat mengikut tatacara yang ditetapkan dan diikuti dengan tindakan serta intervensi yang bersesuaian.

“Bagi memperkukuh keselamatan dan pemantauan di asrama, KPM sudah melaksanakan beberapa langkah penambahbaikan,” katanya.

Dalam pada itu, Fadhlina memaklumkan, daripada aspek pemantauan fizikal, KPM sudah memasang kamera litar tertutup (CCTV) di 200 buah sekolah berasrama pada tahun 2025 dengan peruntukan sebanyak RM3 juta.

“Pada tahun ini, inisiatif ini diteruskan melalui pemasangan CCTV di 333 buah sekolah berasrama dengan peruntukan sebanyak RM5 juta.

“Bagi Fasa 3 pada 2027, sebanyak RM15 juta diperuntukkan untuk memperluas pemasangan CCTV kepada 1,000 buah sekolah di seluruh negara,” katanya.

Fadhlina berkata, pemantauan keselamatan tidak boleh bergantung pada kemudahan fizikal semata-mata dan pengawasan oleh warga sekolah, kepekaan terhadap perubahan tingkah laku murid dan tindakan segera terhadap aduan juga menjadi komponen penting dalam memastikan persekitaran asrama yang selamat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top