Lelaki terselamat selepas terperangkap 26 jam dalam gua

Lelaki terselamat selepas terperangkap 26 jam dalam gua

Sardinia, Itali: Seorang lelaki diselamatkan dalam keadaan masih hidup selepas terperangkap di dalam gua di Pulau Sardinia, Itali, selama kira-kira 26 jam susulan kejadian runtuhan batu yang berlaku pada Isnin, lapor The Independent.

Luca Olmetto, 31, sedang meneroka Gua Gorroppeddu berhampiran bandar Urzulei di bahagian tengah timur Sardinia pada petang Ahad apabila runtuhan batu menyebabkan dia terperangkap kira-kira 10 meter (m) di bawah permukaan tanah.

Teman wanitanya yang berada beberapa meter di belakangnya terselamat tanpa kecederaan sebelum menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan.

Susulan itu, menurut media tempatan, kira-kira 30 anggota penyelamat, termasuk doktor dan pakar pembersihan runtuhan, dihantar ke lokasi bersama ambulans udara wilayah dan pasukan bomba.

Anggota Kor Penyelamat Alpine dan Speleologi Sardinia (CNSAS), dengan kerjasama jabatan bomba tempatan, berjaya menemui Olmetto menjelang lewat petang Isnin selepas mengalihkan runtuhan batu dan tanah secara manual dari laluan sempit.

Difahamkan, mereka membersihkan sejumlah besar serpihan yang menutupi lelaki itu sebelum membawanya keluar dari ruang gua berkenaan.

Olmetto kekal sedar dan memberikan respons sepanjang operasi menyelamat dijalankan.

Dalam pada itu, kor berkenaan menyifatkan operasi itu sebagai ‘operasi yang amat rumit’ dalam kenyataan di media sosial, selain menggambarkan ruang kerja penyelamat sebagai ‘amat sempit’.

Olmetto kemudian dibawa keluar ke permukaan sejurus selepas jam 6 petang waktu tempatan sebelum kakitangan perubatan menstabilkan keadaannya dan dia diterbangkan menggunakan helikopter ke hospital untuk pemeriksaan serta rawatan.

Majlis Perbandaran Codrongianos, bandar di barat laut Sardinia yang menjadi tempat asal Olmetto, berkata tempoh 24 jam sebelumnya dipenuhi ‘kebimbangan besar bagi seluruh masyarakat’.

“Selepas berjam-jam dilanda kebimbangan besar, berita yang dinanti-nantikan seluruh penduduk Codrongianos akhirnya tiba, Olmetto sudah keluar dari gua.

“Ia adalah tempoh yang sukar, ketika seluruh masyarakat berada dalam keadaan cemas susulan operasi menyelamat yang dijalankan,” katanya.

Majlis perbandaran itu turut mengucapkan terima kasih kepada anggota penyelamat yang bekerja tanpa mengenal penat lelah untuk sampai kepada mangsa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top