mdroji@bh.com.my
Kuching: Seramai 224 kanak-kanak yang dilahirkan di Sarawak didaftarkan sebagai bukan warganegara bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, antara faktor penyumbang ialah perkahwinan ibu bapa yang tidak didaftarkan secara sah mengikut undang-undang Malaysia.
Beliau berkata, faktor lain termasuk ibu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah serta kes kanak-kanak yang dijumpai atau ditinggalkan.
Katanya, pendaftaran kelahiran di Sarawak dilaksanakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengikut Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian Sarawak (Bab 10), yang mewajibkan setiap kelahiran di negeri ini didaftarkan tanpa mengira status kewarganegaraan ibu bapa.
“Bagaimanapun, kelahiran di Malaysia tidak secara automatik memberikan kewarganegaraan Malaysia.
“Ini kepada seseorang kanak-kanak kerana status berkenaan ditentukan berdasarkan kewarganegaraan ibu bapa ketika kelahiran serta status perkahwinan mereka yang sah dan berdaftar mengikut undang-undang negara.
“Contohnya jika ibu bukan warganegara Malaysia manakala bapa ialah warganegara Malaysia, tetapi perkahwinan mereka belum didaftarkan secara sah ketika anak dilahirkan, status kewarganegaraan anak itu boleh mengikut ibu, iaitu bukan warganegara Malaysia,” katanya ketika menjawab soalan Dr Johnichal Rayong Ngipav(GPS- Engkelili) pada Persidangan DUN Sarawak, hari ini.
Dalam soalan bertulis, Dr Johnichal bertanya mengenai status kanak-kanak yang mempunyai salah seorang ibu atau bapa bukan warganegara Malaysia, tetapi dilahirkan dan dibesarkan di Sarawak termasuk kelayakan mereka untuk bersekolah di negeri ini.
Fatimah menegaskan bahawa status kewarganegaraan dan akses kepada pendidikan ialah dua perkara berbeza kerana kanak-kanak yang belum memperoleh kewarganegaraan Malaysia masih boleh mendapat akses pendidikan, tertakluk kepada syarat dan prosedur ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM).
Beliau berkata, kanak-kanak yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang ibu atau bapa kandung warganegara Malaysia layak mendapat akses pendidikan di sekolah kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan, tertakluk kepada Akta Pendidikan 1996 serta peraturan dan prosedur kemasukan murid yang sedang berkuat kuasa.
“Bagi tujuan kemasukan ke sekolah, maklumat ibu atau bapa yang juga warganegara Malaysia perlu tertera dalam sijil kelahiran kanak-kanak berkenaan, selain memenuhi syarat ditetapkan KPM,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




