Putrajaya: Ibu kepada model warga Belanda, mendiang Ivana Smit mungkin akan merayu keputusan Mahkamah Rayuan, di sini, hari ini ke Mahkamah Persekutuan.
Mahkamah Rayuan hari ini melalui keputusan sebulat suara mengenepikan ganti rugi RM1.1 juta dalam kes saman Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen, berhubung dakwaan kecuaian siasatan kematian anak perempuannya.
Panel membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan kerajaan terhadap penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 29 Julai 2025.
Selepas prosiding hari ini, peguam Verstappen, Datuk Sankara Nair berkata, pihak keluarga mempunyai satu lagi saluran terakhir melalui rayuan ke Mahkamah Persekutuan, tertakluk kepada kebenaran.
Sankara berkata, beliau dan Verstappen kecewa dengan keputusan itu, namun menghormati keputusan mahkamah.
“Kami melakukannya dengan hati yang tenang, mengetahui bahawa kami sudah berusaha menggunakan setiap saluran yang ada setakat ini dalam usaha kami menuntut keadilan.
“Kami berpegang teguh pada kepercayaan bahawa akauntabiliti tidak boleh dikorbankan demi hal teknikal undang-undang terutamanya membabitkan tingkah laku pihak berkuasa awam,” katanya dalam satu kenyataan.
Sankara mengakui mahkamah terikat dengan duluan kehakiman dan doktrin stare decisis (keputusan mahkamah atasan mengikat mahkamah bawahan).
“Ia sebahagiannya untuk mengelakkan kepada tuntutan kecuaian berlebihan.
“Namun, saya gementar memikirkan akibat lebih membimbangkan, iaitu ia ‘membuka pintu’ kepada kecuaian tidak terkawal dan sewenang-wenangnya oleh agensi berkenaan terutamanya polis, menyebabkan mangsa tidak mendapat remedi undang-undang berkesan.
“Lagipun, mahkamah adalah benteng keadilan terakhir bagi mereka yang menuntut akauntabiliti daripada pihak kerajaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




