am@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Penyanyi, Idayu Yaakob memaklumkan dia sudah menghantar Notis Tuntutan (LOD) menerusi peguamnya kepada lebih 100 individu yang menghina dirinya dan keluarga susulan pandangan mengenai teknik nyanyian di media sosial.
Idayu atau nama sebenarnya, Nur Farah Idayu Yaakob, 41, berkata tindakan undang-undang terpaksa diambil untuk memberi pengajaran kepada individu yang suka melemparkan kata-kata kesat terhadap orang lain.
“Sejujurnya, yang menandakan nama saya di Threads memang ramai selepas saya bagi pandangan selaku guru vokal dan vocal styling.
“Saya tidak ambil peduli kalau setakat kritik kerjaya, tetapi bila masuk bab menghina, mencaci maki saya dan keluarga, itu yang saya hantar LOD.
“Sudah berpuluh-puluh (notis tuntutan) ‘keluar’ mencecah 100 LOD dihantar peguam saya iaitu sehari selepas nama saya ‘dipetik’ di Threads, ” katanya ketika ditemui pada sesi pra dengar single duetnya bersama Adeep Nahar, Bercanda Emosi di Studio 21:05, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata Idayu yang juga guru vokal, peguamnya mula mengambil tindakan sebaik bukti kecaman dikumpulkan termasuk komen yang memperlekehkan pengetahuan muzik serta menghina rupa fizikalnya.
Namun, kata Idayu yang pernah dinobatkan juara Akademi Fantasia Megastar pada 2017, dia masih sedia mempertimbangkan untuk menarik balik laporan kepada individu yang menghubunginya untuk meminta maaf dan memadam komen penghinaan mereka.
“Sampai hari ini sekitar 20 hingga 30 individu sudah menghubungi saya secara peribadi untuk memohon maaf selepas menerima LOD dan saya sedia memaafkan mereka.
“Kita faham mungkin mereka terlalu sayangkan artis pujaan masing-masing sampai bertindak melampaui batas. Saya pun pernah ada peminat fanatik dahulu, tetapi saya nasihatkan mereka agar jangan cari pasal dengan orang lain.
“Kita usah membuli sesuka hati. Mulut dan jari kena jaga. Jangan ingat boleh maki hamun sesuka hati kemudian terlepas begitu sahaja. Kena ada etika tapi jika ada usaha nak minta maaf, tentu saya maafkan,” kata bekas peserta Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) itu.
Ditanya kecaman yang diterima, kata Idayu, ia berpunca daripada salah faham segelintir pihak terhadap pandangan profesionalnya mengenai gaya vokal dan susunan muzik persembahan penyanyi tempatan.
Katanya, pendapat itu disuarakan berdasarkan pengalaman sebagai penyanyi, guru vokal dan jurulatih gaya vokal yang sudah lebih dua dekad dalam bidang berkenaan.
“Apa yang saya suarakan itu adalah pandangan kerana kita mahu melihat pembaharuan. Saya tidak menyebut nama sesiapa atau merujuk kepada penyanyi tertentu pun,” katanya.
Terdahulu, tular satu hantaran daripada Idayu di akaun Threads miliknya yang mendapat pelbagai reaksi netizen apabila dia didakwa sengaja menyindir seseorang penyanyi.
Dalam perkembangan lain, Idayu mengakui teruja bergandingan dengan Adeep menerusi karya genre pop R&B ciptaan komposer terkenal, Helen Yap, bersama Slen Fadzil selaku penulis lirik.
© New Straits Times Press (M) Bhd



