COLOGNE: Pihak berkuasa Jerman menyiasat dakwaan gangguan seksual selepas sebuah robot yang dikawal dua lelaki didakwa meraba punggung seorang remaja perempuan berusia 16 tahun serta melakukan aksi tidak senonoh terhadapnya.
Polis di Cologne memulakan siasatan susulan kejadian minggu lalu yang membabitkan dua suspek lelaki berusia 16 dan 19 tahun.
Kedua-duanya didakwa merakam insiden itu sebelum menyiarkannya secara langsung di platform dalam talian sambil memberikan ulasan.
Memuatkan artikel berkaitan…
Jurucakap Polis Cologne, Christoph Bermel, berkata kedua-dua suspek belum didakwa secara rasmi. Penyiasat kini meneliti sama ada pergerakan robot itu dikawal secara langsung atau diprogramkan terlebih dahulu.
Beliau mengakui pihak polis belum pernah berdepan kejadian seumpama itu sebelum ini.
“Kami belum pernah berdepan fenomena seperti ini,” katanya kepada agensi berita Associated Press (AP), sambil menyifatkan insiden itu sebagai sesuatu yang baharu bagi pihak berkuasa.
Menurut kenyataan polis pada Isnin, pasukan kecemasan yang dikerahkan ke lokasi kejadian berhampiran sebuah restoran fondue menemukan robot berkenaan di dalam but sebuah kenderaan.
Pihak berkuasa kemudian menyita robot itu serta telefon bimbit milik kedua-dua suspek untuk membantu siasatan.
Polis Cologne turut memuat naik foto robot berwarna merah dan emas itu menerusi Facebook. Robot setinggi kira-kira 120 sentimeter itu dilihat memakai baju singlet putih, seluar sukan hitam, rantai emas, cermin mata hitam dan misai palsu.
Beberapa video yang tular di internet menunjukkan dua lelaki berkenaan mengiringi robot itu menghampiri sekumpulan wanita di kawasan perumahan yang meriah pada waktu malam.
Robot itu kemudian dilihat melanggar seorang wanita dan memeluk beberapa wanita lain.
Dalam rakaman berkenaan, salah seorang lelaki terbabit berulang kali menjerit ke arah robot itu sebelum menariknya ke belakang selepas ia melakukan aksi berunsur seksual, yang mencetuskan gelak tawa orang ramai di lokasi kejadian.
Dalam hantaran di Facebook pada Selasa, polis turut mengecam komen tidak wajar sesetengah pengguna media sosial dan memberi amaran bahawa tindakan berkongsi rakaman atau menjadikan insiden itu sebagai bahan jenaka boleh memburukkan lagi trauma yang dialami mangsa.- AP




