
KUALA LUMPUR – K-Halal Food Festival di Sunway Pyramid di sini, bukan sekadar menghimpunkan peminat makanan Korea, sebaliknya menawarkan pengalaman budaya dan gaya hidup yang meriah menerusi gabungan makanan halal, hiburan mesra keluarga serta pelbagai aktiviti interaktif.
Acara anjuran aT Center Kuala Lumpur (Korea Agro-Fisheries & Food Trade Cooperation) yang berlangsung selama tiga hari itu berjaya mewujudkan suasana positif dengan sambutan pengunjung yang menggalakkan, selain penglibatan aktif pemain industri dalam memperkenalkan kepelbagaian produk makanan halal Korea kepada pengguna Malaysia.
Pengarah aT Center Kuala Lumpur, Chang Chung Ho berkata, konsep acara berteraskan pengalaman itu membolehkan pengunjung bukan sahaja meneroka dan mencuba pelbagai produk halal korea disamping menikmati persembahan kebudayaan, aktiviti interaktif, permainan serta pengalaman K-culture yang sesuai untuk seisi keluarga.
Jelas beliau, lebih menarik lagi, festival itu turut menampilkan pilihan produk makanan halal Korea yang dikurasi, termasuk beberapa tawaran baharu bersama sesi pensampelan yang memberi peluang kepada pengunjung mengenali kepelbagaian serta profil rasa produk berkenaan.

“Pendekatan ini dilihat selari dengan minat yang semakin berkembang terhadap makanan Korea dan K-culture dalam kalangan pengguna Malaysia, sekali gus menjadikan K-Halal Food Festival sebagai ruang pertemuan antara makanan,budaya dan gaya hidup.
“Antara tarikan utama ialah ‘Live Cooking Studio’ yang memberikan pengalaman lebih dekat kepada pengunjung terhadap penyediaan makanan Korea, selain menghidupkan suasana festival dengan elemen kulinari secara langsung.
“Tidak ketinggalan, ‘Healthy and Fresh Zone’ turut menjadi antara segmen yang diketengahkan menerusi peluang untuk pengunjung merasai premium Hanwoo beef, selain meneroka buah-buahan Korea yang segar dari ladang serta produk wellness,” katanya.
Dalam pada itu, elemen kebudayaan Korea turut diberi penekanan menerusi persembahan dinamik termasuk demonstrasi Taekwondo dan persembahan tarian K-pop cover.

Persembahan berkenaan bukan sahaja menghiburkan pengunjung, malah menjadi medium untuk memperkenalkan dan meraikan budaya Korea menerusi pengalaman yang lebih dekat, santai dan interaktif.
Gabungan makanan, persembahan, permainan serta aktiviti tradisional itu turut menjadikan acara berkenaan lebih menarik kepada pelbagai peringkat umur, khususnya keluarga, golongan muda, peminat K-culture, pencinta makanan dan pengguna yang berminat dengan makanan halal Korea serta pengalaman gaya hidup Korea.
Selain sajian makanan halal, pengunjung turut berpeluang menyaksikan persembahan khas AMBIGUOUS Dance Company dari Korea Selatan yang menampilkan keunikan dan tenaga tarian Korea secara langsung di festival itu.

Selain memberi tumpuan kepada pengguna, K- Halal Food Festival turut menyediakan ruang untuk penglibatan secara edukatif serta perbincangan mengenai perkembangan ekosistem makanan halal Korea di Malaysia.
Antara perkara yang diketengahkan ialah kepentingan ketulenan makanan, ketelusan serta kepercayaan pengguna dalam rantaian bekalan K-Halal, selaras dengan usaha memperkukuh pemahaman pengguna terhadap produk makanan halal Korea.
Aspek berkenaan penting dalam memastikan perkembangan makanan Korean Halal bukan hanya dilihat dari sudut trend makanan dan budaya popular, tetapi turut mengambil kira keyakinan pengguna terhadap produk yang ditawarkan.
Penganjuran K-Halal Food Festival juga memperlihatkan bagaimana makanan boleh menjadi medium pertukaran budaya apabila pengguna berpeluang mengenali Korea menerusi cita rasa, persembahan dan aktiviti kebudayaan dalam satu pengalaman yang menyeluruh.
Dalam masa sama, acara itu mengukuhkan kedudukan K-Halal Food Festival sebagai platform yang menghubungkan penglibatan pengguna dengan kerjasama industri, selain meningkatkan kesedaran mengenai produk makanan halal Korea dan budaya Korea dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Program itu turut dimeriahkan dengan persembahan kumpulan Taekkyeon dari Korea Selatan serta demonstrasi masakan menggunakan bahan dan produk makanan Korea oleh Pempengaruh media sosial Durian Kimchi, Ryzal Ibrahim dan Maryam Younarae yang juga Duta Kehormat Makanan Korea ASEAN.
Pada majlis itu, pasangan Durian Kimchi juga memperkenalkan menu seperti galbitang dan kimchi goreng yang memberi inspirasi kepada pengunjung untuk mencuba hidangan Korea sebagai pilihan sajian harian keluarga.
Secara keseluruhannya, K-Halal Food Festival berjaya menggabungkan elemen makanan, budaya, hiburan dan pengalaman keluarga dalam sebuah acara yang meraikan populariti Korean Halal food serta K-culture dalam pasaran Malaysia.
Acara ini memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai pengalaman Korea menerusi makanan, budaya dan gaya hidup, di samping mengetengahkan tarikan makanan halal Korea yang semakin mendapat perhatian serta kepentingan ketulenan, ketelusan dan kepercayaan pengguna dalam ekosistem K-Halal.



