sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Misi memburu kemenangan pertama musim ini menuntut Kelantan Red Warrior (KRW) FC tampil lebih berdisiplin apabila berdepan Star City FC dengan kedua-dua pasukan masih kekal dengan rekod tanpa kemenangan.
Kapten KRW FC, Arham Khussyairi menegaskan dia dan rakan sepasukan tidak boleh melakukan kesilapan mudah dan perlu kekal fokus sepanjang 90 minit agar tidak ketinggalan lebih awal.
Jelasnya, persiapan KRW berjalan lancar menerusi latihan seperti biasa selain beberapa perlawanan pemanas badan telah dilakukan dalam tempoh Liga Malaysia berehat selama tiga minggu bagi memastikan pasukan berada pada tahap terbaik menjelang pertembungan itu di Stadium Sultan Muhammad IV, malam esok.
Perlawanan itu bukan sahaja peluang untuk KRW memburu kemenangan pertama, malah ruang untuk setiap pemain membuktikan kemampuan dan meningkatkan keyakinan pasukan bagi menghadapi baki saingan liga apabila kelab itu kini di tangga tercorot Liga Super tanpa sebarang mata selepas tewas lima perlawanan.
“Persiapan pasukan berjalan seperti biasa dengan adanya beberapa perlawanan pemanas badan sebagai persediaan menentang Star City. Kami perlu kekal fokus sehingga wisel penamat.
“Kita banyak buat kesilapan mudah dan kali ini kita perlu elak buat benda sama kerana perkara seperti itu boleh mengganggu momentum pasukan dan memerlukan kami bekerja lebih keras untuk kembali mengawal permainan,” katanya.
Mengulas mengenai kekuatan lawan, Arham mengakui Star City memiliki kelebihan dari segi jumlah pemain import serta aspek fizikal namun tetap positif situasi itu tidak melemahkan semangat mereka untuk cuba memberikan saingan menerusi pendekatan taktikal diterapkan jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim.
“Star City mempunyai kelebihan dari segi jumlah pemain import yang lebih ramai berbanding pasukan kami, selain kelebihan fizikal.
“Bagaimanapun, insya-Allah dengan taktikal yang sudah kami buat dan kaji sebelum ini, kami mampu memberikan saingan kepada mereka.
“Secara peribadi, saya pun sedar komitmen saya untuk cuba sebaik mungkin membantu pasukan termasuklah memperkukuh benteng pertahanan.
“Semestinya kita semua ingin memberikan yang terbaik untuk pasukan dalam usaha untuk elak kehilangan lebih banyak mata”, katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




