Selangor tarik pelaburan RM3 bilion hasil kerjasama Invest Selangor, UOB Malaysia

Selangor tarik pelaburan RM3 bilion hasil kerjasama Invest Selangor, UOB Malaysia

Kuala Lumpur: Kerjasama strategik antara UOB Malaysia dan Invest Selangor Berhad terus membuahkan hasil apabila berjaya membantu merealisasikan kemasukan pelaburan bernilai lebih RM3 bilion ke negeri berkenaan.

Kemasukan pelaburan berskala besar itu secara langsung mendukung aspirasi negeri di bawah Rancangan Selangor Kedua (RS-2) dalam usaha meningkatkan daya saing sektor perindustrian, menarik pelaburan berkualiti tinggi, serta merancakkan pertumbuhan ekonomi mampan.

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Datuk Ng Wei Wei berkata, pelaburan yang diumumkan ini, termasuk empat Surat Hasrat (LOI) yang dikemukakan, merupakan hasil langsung kerjasama strategik dengan Invest Selangor.

“Usaha ini memperlihatkan komitmen UOB dalam menghubungkan pelabur antarabangsa dengan peluang di rantau ASEAN, membantu mereka menembusi pasaran baharu, dan memupuk perkongsian yang berkekalan.

“Melangkaui nilai pelaburan yang diumumkan, pelaburan berkenaan dijangka menjana manfaat ekonomi yang lebih luas menerusi pemindahan teknologi, pembangunan bakat, dan peluang rantaian bekalan bagi perniagaan tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya dalam kenyataan.

Syarikat-syarikat yang mengemukakan LOI termasuk Galaxy DC Pte Ltd, pemaju infrastruktur pusat data hiperskala yang berfokus pada kecerdasan buatan (AI); Shenghui Biotechnology (Malaysia) Sdn Bhd, yang merancang untuk membangunkan kemudahan pemprosesan mendalam jagung dan pengeluaran ramuan khusus berskala besar di Selangor bagi menghasilkan produk berasaskan kanji, pemanis, dan untuk penggunaan nilai tambah lain.

Selain itu, turut mengemukakan LOI ialah XTC New Energy Materials (Xiamen) Co Ltd iaitu pengeluar bahan bateri termaju yang menyokong rantaian nilai kenderaan elektrik dan penyimpanan tenaga dan Wuxi Weifu Environmental Catalysts Co Ltd, pengeluar pemangkin kawalan emisi automotif dan perindustrian yang menyokong pertumbuhan ekosistem kenderaan tenaga baharu Malaysia.

Menurutnya, keempat-empat LOI berkenaan merupakan hasil langsung daripada kerjasama sektor awam dan swasta antara UOB Malaysia dan Invest Selangor yang dimeterai sejak November 2025 bagi menarik kemasukan syarikat multinasional ke pasaran tempatan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad, Datuk Hasan Azhari berkata, pelaburan

ini membuktikan kekuatan ekosistem perindustrian, kesalinghubungan, kumpulan bakat serta persekitaran mesra perniagaan di Selangor.

“Melalui kerjasama dengan UOB Malaysia, kami dapat mendekati lebih ramai pelabur antarabangsa serta memudah cara pelaburan yang menepati keutamaan pembangunan strategik Selangor.

“Selain sumbangan langsung dari segi nilai pelaburan, projek-projek ini dijangka memperkukuh keupayaan industri tempatan dan memantapkan kedudukan Selangor sebagai hab industri bernilai tinggi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top