surayaroslan@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 19 Oktober untuk mendengar permohonan komital terhadap seorang lelaki yang didakwa gagal mematuhi perintah mahkamah supaya menyiarkan permohonan maaf secara terbuka dalam akhbar.
Permohonan itu difailkan usahawan fesyen, Christy Ng dan syarikatnya Christy Ng Sdn Bhd, selaku plaintif terhadap J Vikneshvra Rau sebagai defendan.
Ia susulan dakwaan bahawa Vikneshvra gagal menyiarkan permohonan maaf tanpa syarat satu halaman penuh dalam akhbar berbahasa Melayu dan Inggeris seperti diarahkan mahkamah.
Menurut kenyataan media Tetuan Foong Cheng Leong & Co, kes itu berpunca daripada kenyataan yang diterbitkan Vikneshvra menerusi akaun Threads miliknya, ‘archnionverse’, pada 4 November 2025.
Hantaran berkenaan dilaporkan meraih sekurang-kurangnya 655,000 tontonan, selain kira-kira 1,000 siaran semula dan 1,800 perkongsian.
Pada 13 Februari lalu, Mahkamah Tinggi merekodkan penghakiman ingkar kehadiran selepas Vikneshvra gagal memasukkan kehadiran bagi menjawab tindakan berkenaan.
Mahkamah antara lain menghalangnya daripada menerbitkan kenyataan berunsur fitnah selanjutnya dan mengarahkannya menyiarkan permohonan maaf secara terbuka dalam tiga akhbar serta akaun media sosialnya.
Bagaimanapun, walaupun Vikneshvra menyiarkan permohonan maaf menerusi akaun Threads pada 19 Mac lalu, dia didakwa masih gagal menerbitkan permohonan maaf seperti diarahkan dalam akhbar, termasuk The Star dan Harian Metro.
Pada 15 September lalu, mahkamah memberikan kebenaran kepada Christy dan syarikatnya memulakan prosiding komital terhadap Vikneshvra atas dakwaan menghina mahkamah kerana gagal mematuhi perintah berkenaan.
Prosiding komital adalah proses mahkamah untuk menentukan sama ada seseorang melakukan penghinaan terhadap mahkamah akibat ketidakpatuhan kepada sesuatu perintah.
Kebenaran memulakan prosiding itu tidak bermakna Vikneshvra sudah didapati bersalah. Mahkamah masih perlu mendengar dan memutuskan permohonan berkenaan berdasarkan hujah serta bukti pihak terbabit.
Plaintif mendakwa kegagalan berterusan menyiarkan permohonan maaf dalam akhbar menunjukkan ketidakpatuhan terhadap perintah mahkamah.
Christy dan syarikatnya diwakili peguam Foong Cheng Leong dan Rachel Tan Li Ying daripada Tetuan Foong Cheng Leong & Co.
Dalam perkembangan terdahulu, pada 30 Julai lalu, Mahkamah Tinggi menganugerahkan ganti rugi global berjumlah RM180,000 kepada Christy dan syarikatnya selepas penilaian ganti rugi dibuat.
Daripada jumlah itu, RM140,000 dianugerahkan kepada Christy, manakala RM40,000 diberikan kepada syarikatnya.
Mahkamah turut memerintahkan Vikneshvra membayar faedah dan kos RM10,000, selain menyiarkan permohonan maaf secara terbuka dalam tiga akhbar serta akaun media sosialnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




