am@hmetro.com.my
Georgetown: Penuntut perempuan maut dipercayai jatuh dari bangunan asrama di Universiti Sains Malaysia (USM) di Gelugor, di sini, hari ini.
Mangsa berusia 21 tahun ditemui dalam keadaan terlentang oleh petugas kebersihan di atas lantai simen blok asrama berkenaan pada 7.25 pagi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, hasil siasatan di tempat kejadian mendapati mangsa adalah seorang penuntut wanita warga tempatan yang tinggal di asrama berkenaan.
“Mangsa disyaki jatuh dari bangunan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Siasatan di lokasi kejadian tidak menemukan sebarang unsur jenayah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Abdul Rozak berkata, pemeriksaan lanjut pada mangsa mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan luaran pada tubuhnya disyaki akibat jatuh dari tempat tinggi.
“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat,” katanya.
Katanya, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut (SDR).
© New Straits Times Press (M) Bhd




