PRN Melaka: PN hampir muktamad pembahagian kerusi dengan rakan kerjasama politik

PRN Melaka: PN hampir muktamad pembahagian kerusi dengan rakan kerjasama politik

KUALA LUMPUR – Perbincangan Perikatan Nasional (PN) bersama rakan politiknya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kini hampir selesai.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, rundingan itu turut melibatkan pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen gabungan berkenaan.

“(Rundingan) Dalam lingkungan 100 peratus, tidak lebih daripada 100 peratus.

“Satunya (rundingan) antara kita dengan pihak yang bekerjasama dengan kita. Kemudian satu lagi di kalangan parti-parti kami sendiri pun membincangkan pembahagian (kerusi) dan persiapan yang perlu dan rapi perlu dibuat,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Media Parlimen, pada Khamis.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Kota Bharu itu menjelaskan, PN masih meneliti beberapa perkara sebelum memuktamadkan persiapan menghadapi PRN berkenaan, termasuk isu kedudukan gabungan itu susulan tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

Takiyuddin memaklumkan, permohonan semakan kehakiman yang difailkan PN akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 Oktober ini.

Menurutnya, permohonan itu penting bagi menentukan kedudukan PN untuk bertanding menggunakan nama gabungan berkenaan pada PRN Melaka.

Sementara itu mengulas kemungkinan PN tidak dapat menggunakan logo gabungan itu sekiranya isu berkenaan belum diselesaikan di mahkamah, Takiyuddin berkata, pihaknya mempunyai beberapa pilihan alternatif.

“Alternatif pertama sudah tentulah logo PN. Kalau tak dapat itu, ada alternatif yang lain.

“Yang itu merupakan strategi yang tidak boleh diumumkan. Kalau tidak, tak jadi strategi. Jadi tragedi,” ujarnya.

 

Scroll to Top