Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek tampil menjelaskan keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menetapkan penutupan sekolah apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 200, berbanding pendekatan lebih berhati-hati yang diambil sebelum ini.
Menurut beliau, ketetapan tersebut dibuat selepas mengambil kira pandangan agensi berkaitan, termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), bagi memastikan keselamatan murid terus terpelihara tanpa menjejaskan kelangsungan pembelajaran.
Fadhlina mengakui menerima pelbagai persoalan daripada ibu bapa yang ingin mengetahui sebab sekolah sebelum ini ditutup ketika bacaan IPU masih rendah, namun kini perlu menunggu sehingga paras 200.
“Saya baca ramai yang tanya, kenapa sebelum ini sekolah ditutup bila IPU masih rendah, sekarang kena tunggu sampai 200 pula?” ujarnya menerusi satu kenyataan.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan pendekatan lebih berhati-hati sebelum ini diambil susulan kebimbangan yang dizahirkan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong terhadap situasi jerebu di negara ini.
Bagaimanapun, keputusan berkenaan turut mengundang pelbagai reaksi ibu bapa, termasuk mereka yang mahu sekolah ditutup lebih lama, bimbang anak-anak tercicir pelajaran serta berdepan kesukaran menguruskan penjagaan anak ketika bekerja.
Susulan itu, KPM mengadakan perbincangan semula bersama agensi berkaitan sebelum memutuskan untuk kembali menggunakan ketetapan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK).
Fadhlina menegaskan bahawa setiap tahap bacaan IPU mempunyai tindakan kawalan tersendiri dan tidak semua keadaan memerlukan penutupan sekolah.
“Contohnya, apabila IPU melebihi 100, semua aktiviti luar bilik darjah dihentikan. Anak-anak tak perlu keluar untuk bersukan atau buat aktiviti di padang. Langkah ini untuk mengurangkan pendedahan kepada jerebu, walaupun risiko kesihatan masih ada.
“Apabila IPU mencecah 200, sekolah ditutup serta-merta,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut memberi jaminan bahawa kebajikan murid yang mempunyai masalah kesihatan seperti asma dan gangguan pernafasan tidak akan diketepikan.
Sehubungan itu, ibu bapa yang bimbang keadaan jerebu boleh menjejaskan kesihatan anak masing-masing dibenarkan untuk tidak menghantar mereka ke sekolah, dengan syarat memaklumkan perkara tersebut kepada pihak pentadbiran sekolah.
“Kalau ibu bapa rasa keadaan jerebu boleh menjejaskan kesihatan anak, mereka dibenarkan untuk tidak menghantar anak ke sekolah. Cuma maklumkan kepada pihak sekolah,” maklumnya.
Pada masa sama, Fadhlina mengingatkan bahawa keputusan menutup sekolah perlu dibuat secara teliti kerana tindakan tersebut turut memberi kesan terhadap tempoh pembelajaran murid.
Beliau merujuk pengalaman sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memperlihatkan cabaran besar dalam usaha memulihkan pembelajaran yang tertinggal.
Mengakhiri penjelasannya, Fadhlina memberi jaminan bahawa setiap pandangan dan kebimbangan ibu bapa akan terus diberikan perhatian, manakala sebarang keputusan dibuat berdasarkan nasihat pihak yang mempunyai kepakaran.
“Saya faham tidak semua orang akan bersetuju dengan setiap keputusan. Apa yang boleh dipastikan, setiap kebimbangan akan terus didengar dan keputusan akan dibuat dengan merujuk mereka yang mempunyai kepakaran,” tegasnya.
Sumber: FB Fadhlina Sidek





