Polis masih menunggu laporan lengkap Jabatan Kimia serta keputusan rasmi pakar patologi sebelum punca kematian Noorizwan Zulkefly dapat dimuktamadkan.
Foto: Astro Awani
Memetik laporan Free Malaysia Today, Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus berkata, tangkapan dan penahanan lelaki berusia 42 tahun itu dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP).
Noorizwan meninggal dunia pada 1 Oktober lalu ketika mendapatkan rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).
“Siasatan kes kematian dalam tahanan itu dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan (USJKT) Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur.
Menurut Fadil, penelitian terhadap semua bukti turut dilakukan bagi menentukan sama ada wujud salah laku atau pelanggaran SOP ketika mengendalikan tahanan berkenaan.
Beliau menjelaskan, prosedur yang ditetapkan perlu dipatuhi sepanjang proses tangkapan dan penahanan, termasuk menghadapkan tahanan kepada majistret untuk permohonan reman.
“Sekiranya seseorang tahanan didapati tidak sihat, tindakan membawa individu berkenaan ke hospital perlu dilakukan dengan segera mengikut prosedur ditetapkan,” ujarnya.
Dalam kes Noorizwan, beliau memaklumkan lelaki itu dibawa ke hospital pada 1 Oktober selepas didapati tidak sihat.
Sehubungan itu, Fadil meminta masyarakat memberikan ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan menyeluruh, selain mengelakkan spekulasi serta penyebaran maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan.
Sebelum ini, peguam yang mewakili keluarga Noorizwan, N Surendran daripada Lawyers for Liberty (LFL), mendesak supaya kematian tersebut disiasat sebagai kes bunuh.
Foto: malaysiakini
Desakan itu dibuat susulan dakwaan terdapat kecederaan serius pada tubuh Noorizwan.
Pada 7 Oktober lalu, Surendran mendakwa keluarga dimaklumkan mengenai kecederaan di beberapa bahagian tubuh lelaki itu, termasuk kepala dan tulang rusuk.
Peguam berkenaan turut mempersoalkan tempoh hampir 18 jam yang diambil sebelum keluarga diberitahu mengenai kematian tersebut.
Mengulas siasatan terhadap Noorizwan pula, Fadil menjelaskan terdapat tiga laporan terbaharu membabitkan satu kes narkotik dan dua kes jenayah.
Kes pertama melibatkan tangkapan bagi siasatan mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya.
Kertas siasatan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya pada 22 September sebelum kes itu diputuskan tiada tindakan lanjut (NFA), kerana Noorizwan didapati tidak mempunyai kawalan dan pemilikan terhadap dadah yang dirampas.
Bagi kes pecah rumah yang disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, arahan pendakwaan terhadapnya telah dikeluarkan.
Namun, susulan kematian Noorizwan, kes berkenaan diputuskan NFA pada 6 Oktober.
Siasatan ketiga membabitkan dakwaan mencuri patung Buddha mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, yang turut diputuskan NFA pada 8 Oktober atas alasan sama.
Menurut Fadil, semakan polis mendapati Noorizwan mempunyai hampir 60 rekod jenayah, termasuk 44 rekod lampau. Daripada 44 rekod itu, 18 berkaitan dadah manakala 26 lagi melibatkan kesalahan jenayah lain.
“Kita turut mendapati 17 kes membabitkan pecah rumah dan curi di kawasan Cheras yang dipercayai mempunyai kaitan dengan lelaki berkenaan,” tambahnya lagi.
Sumber: Free Malaysia Today (Faiz Zainudin)




