PESHAWAR – Sekurang-kurangnya 28 orang termasuk 27 kanak-kanak dan seorang guru wanita maut selepas bumbung sebuah sekolah swasta runtuh di barat laut Pakistan pada Khamis.
Sementara lebih 36 yang lain cedera ketika pasukan penyelamat masih mencari mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan, lapor Associated Press (AP) memetik jurucakap hospital.
Jurucakap perkhidmatan kecemasan, Bilal Faizi berkata, beberapa kanak-kanak masih terperangkap di bawah runtuhan di Peshawar, ibu negeri wilayah Khyber Pakhtunkhwa.
Jurucakap hospital Mohammad Asim turut mengesahkan jumlah mangsa, sambil memaklumkan bahawa beberapa individu yang cedera berada dalam keadaan kritikal.
Menurutnya, semua kanak-kanak yang maut atau cedera berusia 13 tahun ke bawah.
Hospital berkenaan mengisytiharkan keadaan kecemasan bagi membolehkan petugas perubatan merawat mangsa yang cedera, manakala pasukan penyelamat meneruskan kerja mengalihkan serpihan runtuhan untuk menyelamatkan mereka yang masih terperangkap.

Beberapa kanak-kanak masih terperangkap di bawah runtuhan. Foto Agensi
Di luar sekolah dan Hospital Lady Reading yang dikendalikan kerajaan, ibu bapa yang cemas berusaha mendapatkan maklumat mengenai nasib anak masing-masing, tanpa mengetahui sama ada mereka masih hidup.
Punca kejadian masih dalam siasatan.
Ketua Polis Peshawar, Saeed Ahmed berkata, pemilik sekolah berkenaan telah ditahan, sambil memaklumkan bahawa struktur bangunan itu lemah.
Pada Julai lalu, empat murid sekolah maut selepas bumbung sebuah pusat tuisyen yang sedang dalam pembinaan runtuh di Lahore.- Bernama-AP



