nurul_husna@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Profesor Fakulti Muzik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Dr Shahanum Md Shah dilantik sebagai Penyandang Kursi Tun Abdul Razak (TARC) ke-16 di Ohio University, Amerika Syarikat.
UiTM dalam satu kenyataan media hari ini memaklumkan, pelantikan itu membawa mandat besar memperluas jaringan akademik serta memperkenalkan ilmu dan kebudayaan Malaysia di peringkat global.
Pelantikan bagi tempoh dua tahun bermula 1 Ogos 2026 hingga 31 Julai 2028 itu dibuat secara rasmi oleh Menteri Pendidikan Tinggi.
Ia sekali gus meneruskan tradisi lebih empat dekad TARC sebagai platform hubungan akademik antara Malaysia dengan Amerika Syarikat.
Menurut UiTM lagi, pelantikan berkenaan amat bermakna dalam memperkasa diplomasi pendidikan negara di pentas antarabangsa.
”UiTM melihat pelantikan terbabit sebagai satu pencapaian penting dalam diplomasi pendidikan Malaysia, selain membuka ruang memperluas kerjasama akademik dan penyelidikan,” katanya.
Prof Dr Shahanum yang berlepas ke Athens, Ohio pada 13 Oktober lalu ditempatkan di Chaddock + Morrow College of Fine Arts serta Center for International Studies.
Peranan beliau merangkumi pengajaran, penyelidikan kolaboratif, syarahan umum, simposium, bimbingan, penerbitan serta diplomasi pendidikan dan kebudayaan.
”Universiti berharap kepakaran beliau dapat membuka dimensi baharu dalam usaha memperkenalkan dan memartabatkan bahasa Melayu serta kebudayaan Malaysia di arena global,” kata kenyataan itu lagi.
TARC ditubuhkan pada Mac 1980 menerusi perjanjian bilateral antara Kerajaan Malaysia dan Ohio University sebagai Kursi Akademik Luar Negara pertama negara.
Hubungan erat berkenaan berakar daripada kerjasama antara UiTM yang dahulunya dikenali sebagai ITM dengan universiti berkenaan sejak 1960-an.
Prof Dr Shahanum menyertai rangkaian tokoh akademik terkemuka negara yang pernah menyandang kursi berprestij terbabit.
Antara tokoh awal yang pernah dilantik termasuklah Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas bagi tempoh 1981 hingga 1982.
Beliau menjadi penyandang ke-16 selepas Dr Jayum Anak Jawan yang memegang peranan berkenaan bagi tempoh 2015 hingga 2017.
© New Straits Times Press (M) Bhd




