helmi.talkah@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Datuk Lee Chong Wei meletakkan penanda aras cukup tinggi dalam acara perseorangan lelaki badminton di Sukan Olimpik.
Menerusi pencapaian dilakarnya, Malaysia belum pernah lagi gagal mara ke final acara itu sejak tiga edisi terakhir bermula Beijing 2008, London 2012 dan Rio de Janeiro 2016.
Selepas mengumumkan persaraan pada Jun 2019, reputasi hebat Chong Wei itu pasti akan menghantui penggantinya, Lee Zii Jia yang akan membuat penampilan sulung pada temasya terbesar dunia berkenaan.
Walaupun tiada sasaran khusus diletakkan di atas bahunya pada Olimpik kali ini, Zii Jia perlu terima hakikat dia menggalas tanggungjawab besar bukan saja membawa cabaran negara tetapi reputasi dan legasi yang ditinggalkan Chong Wei.
Mungkin tidak adil untuk membandingkan Zii Jia dengan bekas pemain nombor satu dunia itu tetapi itulah yang sering dilakukan peminat yang sebenarnya sangat dahagakan kejayaan dan berharap legasi Chong Wei diteruskan.
Zii Jia menyalakan kembali harapan peminat susulan kejayaannya menjuarai saingan Seluruh England, Mac lalu dengan menumbangkan jaguh nombor satu dunia, Kento Momota dari Jepun selain Viktor Axelsen dari Denmark dalam laluan bergelar juara.
Kini, berbaki 28 hari sebelum Sukan Olimpik Tokyo 2020 bermula pada 23 Julai depan, Zii Jia kekal tenang dalam persiapannya menghadapi temasya itu.
Pemain berusia 23 tahun itu enggan memberi tekanan berlebihan buat dirinya biarpun mengakui pandemik COVID-19 yang melanda ketika ini adalah cabaran terbesar perlu dihadapinya.
“Sejak saya dipilih memasuki skuad negara, layak ke Sukan Olimpik adalah salah sasaran utama saya. Kini, impian saya sudah tercapai dan saya berasa bangga kerana bukan semua orang dapat peluang beraksi di Sukan Olimpik.
“Ini akan menjadi Olimpik pertama saya, saya mahu memberikan yang terbaik. Jurulatih dan kakitangan pasukan sokongan pun sudah masuk menjalani kem latihan secara kuarantin, mereka sudah bersedia untuk bantu saya.
“Saya percaya kerja secara satu pasukan akan memberi banyak kelebihan kepada saya,” katanya yang ketika ini berada di kedudukan ranking nombor lapan dunia.
Zii Jia menyifatkan dia bertuah kerana BAM, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) memberi sokongan penuh untuk dia membuat persiapan ketika pandemik COVID-19 masih belum reda yang menyaksikan atlet kembali menjalani latihan secara kuarantin.
“Dengan situasi COVID-19 ketika ini, memang ia satu cabaran paling besar buat saya dalam melakukan persiapan. Saya cuba yang terbaik bagi melakukan persiapan.
“Saya percaya negara lain pun berdepan situasi sama dan kita tidak boleh kawal perkara ini. Yang pasti, persiapan untuk Olimpik kali ini sangat berbeza berbanding edisi sebelum ini, saya harap boleh mengharunginya dengan baik,” katanya.
Skuad badminton negara muncul penyumbang terbanyak pingat buat kontinjen negara pada Olimpik Rio 2016 apabila meraih tiga perak menerusi Chong Wei, beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.
Pada saingan di Tokyo, cabaran Malaysia akan digalas muka baharu kecuali Peng Soon-Liu Ying dengan penampilan Zii Jia selain Soniia Cheah (perseorangan wanita), Aaron Chia-Soh Wooi Yik ( beregu lelaki) dan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean (beregu wanita).
© New Straits Times Press (M) Bhd




