Iskandar Ismail sedia berhijrah ke Malaysia jika tawaran rancak

Iskandar Ismail sedia berhijrah ke Malaysia jika tawaran rancak

puterialia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seandainya peluang dan tawaran kerjaya seni di Malaysia semakin rancak, penyanyi kelahiran Singapura, Iskandar Ismail tidak menolak kemungkinan untuk berhijrah ke negara ini.

Menurut Iskandar, 48, dia beranggapan suasana kehidupan di Malaysia lebih santai dan selesa berbanding di Singapura.

Bagaimanapun, anak kepada penyanyi era 1950-an, Allahyarham R Ismail ini berkata, setakat ini dia masih bergantung kepada perkembangan kerjaya seni serta keadaan keluarganya yang menetap di Singapura.

“Memang saya berulang-alik kerana keluarga masih berada di Singapura. Kalau betul-betul sibuk dengan kerjaya di Malaysia dan ada peluang untuk terus mengembangkan kerjaya, barulah saya akan menetap di sini.

“Sebenarnya, saya suka Malaysia kerana suasananya lebih santai. Di Singapura, kehidupan agak stres. Rutin harian pula seolah-olah hanya bangun pagi, pergi kerja dan balik tidur.

“Jadi, kalau diberikan peluang untuk menetap di Malaysia, saya akan menerimanya serta-merta,” katanya pada sesi fotografi bagi mempromosikan single terbaharunya, Aku Salah di Studio NSTP Balai Berita, di sini, hari ini.

Bercerita lanjut, juara program realiti Gegar Vaganza (GV) musim ke-12 itu berkata, sekiranya berpeluang meneruskan kelangsungan kerjaya seninya di negara ini, dia bersedia untuk membawa keluarganya berpindah ke Malaysia.

“Di Singapura, saya masih menerima undangan persembahan, setiap bulan mesti ada satu atau dua persembahan.

“Sebelum menyertai GV, saya menyanyi di kelab malam. Namun, dua bulan sebelum sertai program realiti itu, saya sudah berhenti, maknanya sudah lebih setahun saya meninggalkan pekerjaan itu.

“Kalau ada peluang kerjaya di Malaysia, saya memang akan menetap di sini. Namun, jika ada tawaran kerja di Singapura, saya tetap akan berulang-alik ke sana,” katanya lagi.

Untuk rekod, single Aku Salah ciptaan komposer Indonesia, Ilham Baso yang dilancarkan pada Ogos lalu mengetengahkan nuansa muzik ‘galau’ yang berkisar mengenai cinta, kesilapan dan peluang kedua dalam sesebuah hubungan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top