am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Dakwa dia kenalan rapat dengan kerabat diraja dan sering menunjukkan bergambar bersama.
Itu taktik seorang lelaki yang didakwa memperdaya lebih 50 orang kononnya menjadi wakil menawarkan penjualan rumah murah menggunakan kuota kerabat diraja dan menjual kereta milik kerabat terbabit menyebabkan kerugian dianggarkan lebih jutaan ringgit.
Salah seorang mangsa yang juga pelakon Dwan Hamid, 34, atau nama sebenarnya Muhammad Ridzuan Shahul Hamid berkata, dia mula mengenali individu terbabit sejak 2023 di mana lelaki itu mendakwa kenalan rapat kepada juruiring (ADC) kerabat terbabit.
Menurutnya, dia pada mulanya mempercayainya kerana lelaki itu selalu menunjukkan gambar bersama kerabat Diraja Selangor dan ADC.
“Saya kerugian RM30,000 selepas mempercayai tawaran pembelian rumah pada harga murah oleh lelaki itu yang mendakwa mempunyai hubungan rapat dengan kerabat Diraja Selangor.
“Individu terbabit dikenali melalui seorang kenalan sebelum menawarkan rumah di Setapak, berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pada harga RM115,000 seunit.
“Lelaki itu mendakwa terdapat kuota khas sebanyak 20 hingga 30 unit rumah yang dikaitkan dengan kerabat diraja dengan pembeli perlu membayar deposit RM15,000 bagi setiap unit,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Dwan Hamid berkata, dia kemudian mengambil dua unit rumah dan membuat bayaran deposit RM30,000 ke akaun individu terbabit.
“Pada mulanya, saya turut berasa curiga, tetapi apabila dia menunjukkan gambar bersama individu yang dikatakan mempunyai hubungan dengan kerabat diraja, saya percaya tawaran itu benar.
“Bagaimanapun, selepas menunggu lama tanpa perkembangan mengenai rumah berkenaan, saya meminta wang dikembalikan, namun permintaan tidak dilayan,” katanya.
Katanya, dia kemudian mendakwa mengetahui beberapa individu lain turut mengalami nasib sama, termasuk sepupunya yang mengalami kerugian kira-kira RM100,000.
“Saya mula mendedahkan perkara itu di media sosial sebelum lebih ramai individu tampil berkongsi pengalaman masing-masing.
“Selepas saya tularkan gambar individu itu, barulah ramai mula tampil dan menceritakan mereka turut menjadi mangsa.
“Ada yang takut untuk bersuara kerana mendengar nama kerabat diraja dikaitkan dengan perkara ini, malah ada yang mendakwa menerima ugutan,” katanya.
Menurut Dwan Hamid, lebih 50 individu dipercayai terjejas berdasarkan maklumat yang dikumpulkan dalam kumpulan WhatsApp yang diwujudkannya bersama seorang lagi individu.
“Jumlah kerugian mangsa berbeza-beza, daripada kira-kira RM13,000 hingga RM7 juta.
“Mangsa lain ada yang tinggal Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Perlis, Kedah dan Perak, manakala sebahagian mereka sudah membuat laporan polis,” katanya.
Dia turut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi sebelum kes dirujuk ke IPD Wangsa Maju semalam dan mahu pihak berkuasa menyiasat dakwaan penggunaan nama kerabat diraja bagi meyakinkan mangsa.
“Saya mahu tahu sama ada individu itu benar-benar mempunyai hubungan dengan kerabat atau menggunakan nama kerabat diraja untuk memperdaya orang ramai.
“Saya cuma mahu mendapatkan semula wang saya dan memastikan perkara ini tidak berterusan sehingga lebih ramai menjadi mangsa,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Annas Sulaiman mengesahkan menerima laporan itu.
“Polis mengesahkan menerima laporan dan sudah membuka dua kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya
© New Straits Times Press (M) Bhd




