KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bersama syarikat-syarikat kumpulannya terus memperkukuh komitmen terhadap kesejahteraan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi pelaksanaan Program Sekolah Angkat MADANI 2026.
Program berkenaan memanfaatkan 42 Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dalam kem tentera di seluruh negara dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.05 juta.
Susulan kejayaan pelaksanaan program sama pada 2025 yang membabitkan 38 sekolah rendah dan menengah dalam kem ATM, inisiatif tahun ini memberi fokus kepada penambahbaikan prasarana sekolah agama dan KAFA bagi menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan selesa.
Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Mohammad Ashraf Md Radzi berkata, sebagai institusi pengurusan dana di bawah Kementerian Pertahanan, LTAT bukan sahaja bertanggungjawab mengurus simpanan dan persaraan warga ATM, malah turut memainkan peranan dalam menjaga kesejahteraan keluarga mereka.
“Kami percaya kesejahteraan warga ATM turut merangkumi kebajikan keluarga dan masa depan anak-anak mereka.
“Justeru, menerusi Program Sekolah Angkat MADANI dan Kem Santuni MADANI, kami komited menyediakan kemudahan pendidikan dan prasarana komuniti yang lebih baik demi meningkatkan kualiti hidup warga ATM serta keluarga mereka,” katanya pada Majlis Peluncuran Program Sekolah Angkat MADANI 2026 yang disempurnakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Khamis.

LTAT turut memperuntukkan RM35,000 bagi menaik taraf kemudahan surau di Sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di Kem Terendak
Mohammad Ashraf turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kewangan, Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia atas sokongan serta kerjasama dalam menjayakan program berkenaan.
“Selaras dengan aspirasi GEAR-uP, inisiatif ini mencerminkan komitmen LTAT untuk memperkukuh kesejahteraan warga ATM dan keluarga melalui penyediaan persekitaran pendidikan yang lebih baik demi masa depan generasi akan datang,” katanya.
Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, usaha meningkatkan kesejahteraan warga ATM perlu meliputi bukan sahaja kebajikan anggota yang sedang berkhidmat, malah keperluan keluarga mereka terutama dalam aspek pendidikan dan kemudahan kehidupan seharian.
“Anggota ATM memikul tanggungjawab besar dalam mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara.
“Justeru, menjadi tanggungjawab seluruh ekosistem kementerian termasuk LTAT untuk memastikan kebajikan keluarga mereka, khususnya pendidikan anak-anak, turut diberikan perhatian sewajarnya.
“Program seperti Sekolah Angkat MADANI membuktikan usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat memerlukan kerjasama menyeluruh antara kerajaan, agensi dan sektor korporat.
“Saya berharap inisiatif ini bukan sahaja menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih baik, malah membuka lebih banyak peluang kepada anak-anak warga ATM untuk membina masa depan yang lebih cerah,” katanya.
Bersempena lawatan ke Kem Terendak, Melaka, Mohamed Khaled turut meninjau Sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang merupakan antara sekolah angkat di bawah Program Sekolah Angkat MADANI 2026.
Menerusi program itu, LTAT memperuntukkan RM35,000 bagi menaik taraf kemudahan surau sekolah berkenaan untuk mewujudkan suasana yang lebih selesa kepada murid dan warga sekolah.
Dalam lawatan berasingan ke Kem Sungai Udang, Melaka, beliau turut meninjau pelaksanaan Program Kem Santuni MADANI serta menyempurnakan penyerahan sumbangan berjumlah RM110,000 bagi menaik taraf kemudahan gimnasium untuk kegunaan anggota tentera yang menetap di kem berkenaan.
Program Kem Santuni MADANI 2026 merupakan kesinambungan inisiatif yang diperkenalkan pada tahun lalu dan dilancarkan oleh Mohamed Khaled sempena Jelajah Wira LTAT 2026: Edisi Pantai Timur di Pangkalan TUDM Kuantan pada 13 Julai 2026 dengan peruntukan berjumlah RM600,000.
Melalui program itu, LTAT dan syarikat kumpulannya memberi tumpuan kepada penambahbaikan kemudahan asas dan infrastruktur komuniti di enam kem ATM bagi mewujudkan persekitaran kehidupan yang lebih selesa serta berkualiti untuk anggota tentera dan keluarga mereka.



