'Pantang saya dengar pelajar cemerlang tak hadir pendaftaran universiti kerana kekangan wang'

'Pantang saya dengar pelajar cemerlang tak hadir pendaftaran universiti kerana kekangan wang'

nurul_husna@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Tular di media sosial satu perkongsian video berdurasi tiga minit oleh Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menyentuh hati netizen selepas beliau tampil membantu seorang pelajar cemerlang yang hampir terlepas peluang melanjutkan pelajaran ke pengajian tinggi akibat kekangan kewangan.

​Asyraf yang mengadakan lawatan ke Gerik didatangi oleh Ketua Kampung Kuak Hulu, Mohd Nazri Md Midah atau Tok Nazri yang memaklumkan nasib seorang anak buahnya dari keluarga kurang berkemampuan.

​Pelajar perempuan itu yang memperoleh keputusan cemerlang dilaporkan gagal hadir pada hari pendaftaran universiti di Selangor pada Ogos lalu berikutan kedaifan keluarga.

“Pantang sungguh saya dengar berita pelajar cemerlang yang tidak hadir pendaftaran ke universiti kerana kekangan wang,” tegas Asyraf menerusi hantaran video di Reels FB miliknya.

​Mengetahui hasrat dan minat mendalam pelajar berkenaan dalam bidang kejururawatan, Asyraf tanpa membuang masa terus membuat panggilan telefon secara terus kepada Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Ketua Kampus UniKL Royal College of Medicine Perak (RCMP), Hishamuddin Omar untuk bertanyakan kekosongan.

​Tindakan pantas itu membuahkan hasil apabila pihak UniKL RCMP memberikan maklum balas positif dan bersetuju menawarkan tempat kepada pelajar berkenaan bagi sesi kemasukan Januari depan.

Video perkongsian itu turut mendapat pelbagai reaksi positif daripada warganet yang rata-ratanya memuji keprihatinan Asyraf serta kerjasama erat Ketua Kampung yang sentiasa peka dengan nasib penduduk setempat.

Asyraf turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pimpinan akar umbi yang cakna dan berharap lebih ramai pihak yang berkemampuan tampil membantu anak-anak bangsa yang berdepan kesukaran demi menuntut ilmu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top