KUALA TERENGGANU – Pas telah mempunyai senarai calon yang berpotensi untuk diketengahkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, persiapan menghadapi pilihan raya berkenaan pada dasarnya berjalan, manakala penentuan calon akan dibuat mengikut proses dan keputusan parti yang diluluskan oleh Majlis Syura Ulama.
Menurutnya, Pas sentiasa mengambil pendekatan terbuka dan berusaha untuk meneruskan kerjasama erat, termasuk dengan gabungan parti lain yang dilihat terjalin sebelum ini termasuk dalam PRN Melaka.
”Kita usaha untuk diteruskan. Dan untuk maklumat awal, kita terima hakikat Melaka dipimpin oleh Barisan Nasional… Kita dalam kerajaan,” katanya pada sidang akhbar selepas Perasmian Terengganu International Summit (TIS) 2026: Sempena 3 tahun memperingati Taufan Al-Aqsa di Stadium Negeri di sini pada Jumaat.
Berhubung persediaan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRU16 terutama melibatkan penggunaan logo gabungan sebagai lambang bersama, beliau menjelaskan ia bergantung kepada keputusan proses undang-undang dan mahkamah.
Namun, jelas beliau parti itu tetap mempunyai kebebasan menggunakan simbol sendiri iaitu logo bulan sekiranya berdepan kekangan.
”Kalau tak boleh, kita akan guna logo bulan,” ujarnya.
Menjawab isu berkaitan cabaran Pendaftaran Pertubuhan (RoS) serta tempoh masa berkempen, Ahli Parlimen Marang itu menyifatkan ia bukan satu masalah besar memandangkan jenama Pas dan PN sudah cukup dikenali ramai, di samping meletakkan sandaran kepada sokongan golongan pengundi muda dan baharu.
”Semua orang kenal dah. Tak ada masalah, semua orang kenal Pas, semua orang kenal PN, tak ada masalah. Apalagi kita bergantung kepada pengundi-pengundi muda dan pengundi baharu,” jelas beliau.
Dalam perkembangan sama, ditanya mengenai spekulasi pengosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Abdul Hadi memaklumkan bahawa perkara tersebut masih belum diputuskan secara rasmi oleh kepimpinan parti.



