asmaini@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Selepas lebih sebulan tragedi helikopter Bo-105 terhempas di Long Lellang pada 8 September lalu yang mengorbankan lima nyawa, penyiasat masih belum dapat merumuskan punca sebenar nahas itu.
Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) menerusi laporan awal yang dikeluarkan hari ini menyatakan siasatan keselamatan masih dijalankan, manakala data fakta yang tersedia setakat ini masih berada pada peringkat awal.
“Usaha berterusan untuk mengumpul fakta berkaitan operasi penerbangan, amalan operasi standard dan sejarah penyelenggaraan helikopter akan menyediakan bukti yang diperlukan bagi mengesahkan keberkesanan langkah perlindungan sistem serta menilai sebarang keadaan tersembunyi yang berpotensi menyumbang kepada kemalangan,” menurut laporan itu.
Pada peringkat awal siasatan itu tidak menemukan sebarang kerosakan atau kecacatan pada struktur badan helikopter, penyelenggaraannya mahupun juruterbang.
Bagaimanapun, laporan itu menyatakan enjin helikopter berkenaan dihantar ke kemudahan pengeluar untuk pemeriksaan lanjut dengan siasatan terhadap sistem jana kuasa masih dijalankan.
Sebarang implikasi terhadap kelayakan terbang enjin lain daripada jenis sama juga masih belum dikenal pasti.
Menurut laporan itu lagi, seorang jurutera daripada pengeluar enjin turut menyertai siasatan di lokasi sebagai pakar teknikal yang mewakili pihak berkaitan reka bentuk dan pembuatan enjin berkenaan.
“Pemeriksaan terperinci terhadap baki serpihan helikopter dijalankan dengan perhatian khusus diberikan kepada sistem jana kuasa dan komponen berkaitannya.
“Komponen sistem jana kuasa yang berjaya ditemukan kemudian dibawa ke kemudahan pengeluar enjin untuk pemeriksaan dan analisis lanjut,” menurut laporan itu.
Helikopter berkenaan dilengkapi dua enjin Rolls-Royce 250-C20B dengan enjin nombor satu dikeluarkan pada 1989, manakala enjin nombor dua pada 1976.
AAIB memaklumkan rakaman video selama 37 saat dari darat yang menunjukkan bahagian akhir penerbangan itu memperlihatkan kepulan asap yang jelas serta kelihatan api di sekitar kawasan belakang kotak gear utama.
Bagaimanapun, punca, perkembangan dan urutan kejadian kebakaran itu masih dalam siasatan.
Laporan turut menyatakan pemeriksaan awal di lokasi nahas mendapati helikopter berkenaan mengalami kerosakan besar akibat kebakaran dan hentaman dengan permukaan tanah.
Serpihan utama helikopter serta bahan berkaitan ditemukan berhampiran lokasi nahas, manakala komponen dan bahagian kecil yang tercabut daripada helikopter turut dikumpulkan untuk pemeriksaan serta analisis lanjut.
Menurut laporan itu, tahap kerosakan pada struktur badan helikopter, enjin, sistem transmisi, kawalan penerbangan dan komponen lain masih tertakluk kepada pemeriksaan terperinci.
Semua komponen dan serpihan yang berjaya ditemukan dibawa ke Miri untuk analisis lanjut.
“Pemeriksaan terperinci terhadap serpihan akan dijalankan bagi menentukan sifat dan tahap kerosakan serta, jika boleh, urutan dan perkembangan kebakaran serta kerosakan akibat hentaman dengan permukaan tanah,” menurut laporan itu.
AAIB turut memaklumkan helikopter berkenaan dianggap layak terbang ketika kejadian dan mempunyai Sijil Pendaftaran serta Sijil Kelayakan Udara yang masih sah.
Laporan itu turut menyatakan hasil pemeriksaan terperinci terhadap serpihan dan analisis enjin akan dimasukkan dalam laporan akhir siasatan.
Pada 8 September lalu, sebuah helikopter Bo-105 yang menjalankan perkhidmatan Doktor Udara (Flying Doctor Service) dan membawa lima individu terhempas berhampiran STOLport Long Lellang, Sarawak, mengorbankan semua yang berada di dalamnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




