Pelakon dan pengacara, Janna Nick tampil menegur sikap segelintir masyarakat yang terlalu mempersoalkan isu selaput dara susulan perkongsian video mengenai cara penggunaan tampon ketika haid.
Menerusi hantaran di Threads, Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner, 31, meluahkan rasa hairan apabila video berbentuk perkongsian maklumat itu mencetuskan perdebatan mengenai kesan penggunaan tampon terhadap selaput dara wanita.
Menurutnya, tampon merupakan produk penjagaan haid bersaiz kecil yang digunakan untuk menyerap darah, bukannya seperti yang digambarkan oleh sesetengah pihak.
“Kecoh betul la pasal selaput dara atau hymen. Video pasal cara nak guna tampon je pun.
“Tampon tu senipis cotton pad je la bukan sebesar batang timun,” tulisnya.

Dalam pada itu, Janna turut menjelaskan bahawa keadaan selaput dara berbeza bagi setiap wanita dan tidak boleh dijadikan ukuran mutlak sama ada seseorang pernah melakukan hubungan seksual atau sebaliknya.
Katanya, terdapat wanita yang masih mempunyai selaput dara selepas berkahwin, manakala sesetengah individu pula mengalami perubahan pada bahagian tersebut meskipun tidak pernah melakukan hubungan intim.
“Orang yang dah kawin pun ada selaput dara tak pecah pecah.
“Yang tak pernah bersetubuh pun ada je selaput dara terpecah sendiri.
“Jangan obses sangat dengan selaput dara boleh?” tegasnya.

Terdahulu, Janna bersama pempengaruh Kasih Leona berkongsi sebuah video yang menunjukkan cara penggunaan tampon sebagai salah satu pilihan produk penjagaan ketika haid.
Bagaimanapun, perkongsian berkenaan mengundang pelbagai reaksi warganet, termasuk mereka yang meluahkan kebimbangan bahawa penggunaan tampon boleh menyebabkan selaput dara terkoyak.
Sumber: Threads jannanick




