‘Kritik pemimpin bukan satu kesalahan’ – Adam Adli pertahan mahasiswa UM

‘Kritik pemimpin bukan satu kesalahan’ – Adam Adli pertahan mahasiswa UM

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim menegaskan kebebasan mahasiswa untuk bersuara dan mengkritik tidak seharusnya dianggap sebagai ancaman, sebaliknya perlu dilihat sebagai sebahagian daripada amalan demokrasi yang sihat.

Beliau berkata, demokrasi bukan sekadar memberikan kebebasan kepada seseorang untuk menyuarakan pandangan, malah menuntut kesediaan semua pihak untuk mendengar kritikan, termasuk perkara yang tidak menyenangkan.

“Demokrasi menuntut lebih daripada sekadar kebebasan untuk bersuara. Ia juga menuntut kesediaan untuk mendengar, sekalipun apa yang didengar itu tidak menyenangkan.
“Kritikan terhadap budaya rasuah, salah guna kuasa dan sikap mempertahankan kebobrokan tidak seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang mengancam. Sebaliknya, ia wajar menjadi peringatan penting kepada mereka yang diberikan amanah untuk memimpin,” katanya menerusi satu kenyataan di Threads.

Foto arkib: Media Mulia

Mengulas lanjut, Adam Adli berkata, pihaknya mengikuti perkembangan berhubung pandangan seorang mahasiswi Universiti Malaya (UM), Ummi Umairah Bakhit yang tular selepas mengemukakan soalan dan kritikan dalam sebuah forum anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) baru-baru ini.

Beliau menyifatkan pandangan yang dilontarkan mahasiswi itu sebagai fair comment atau kritikan yang wajar, selain menegaskan mahasiswa tidak seharusnya dibentuk menjadi individu yang hanya mengikut arahan tanpa mempersoalkan sesuatu perkara.

“Seperti yang telah diperteguhkan oleh Menteri KPT dan kerajaan amnya, kampus dan isinya kekal sebagai ruang yang subur dengan pertembungan idea, perbahasan dan keberanian untuk berbeza pandangan.
“Mahasiswa tidak seharusnya dibentuk menjadi sekadar pengikut yang akur, tetapi warga berfikiran merdeka yang mampu menilai, mencabar dan mempersoalkan,” ujarnya.

Menurutnya, KPT akan terus memelihara kebebasan mahasiswa untuk bersuara dan menyatakan pendapat dalam lingkungan tanggungjawab serta bidang kuasa kementerian, selaras dengan tradisi keilmuan dan nilai demokrasi.

Dalam pada itu, beliau menegaskan isu berkenaan tidak seharusnya dijadikan polemik politik kepartian kerana prinsip kebebasan bersuara perlu dipertahankan tanpa mengira pihak yang sedang memegang kuasa atau menerima kritikan.

“Kritikan, hatta terhadap pemimpin dalam kerajaan hari ini, tidak seharusnya diterjemahkan sebagai suatu kesalahan atau alasan untuk mengenakan tindakan terhadap mahasiswa,” katanya.

Terdahulu, Ummi Umairah menjadi perhatian di media sosial selepas mempersoalkan kutipan derma bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membayar denda RM50 juta selain membangkitkan isu skandal Tabung Haji.

Ummi Umairah turut meluahkan kebimbangan terhadap gejala rasuah dan mempersoalkan bagaimana pemimpin masa depan seharusnya mengambil pendirian dalam isu berkenaan.

“Berlaku skandal Tabung Haji yang melibatkan beberapa tokoh politik. Perkara paling bodoh yang pernah saya lihat sepanjang hidup saya ialah orang ramai menderma kepada bekas perdana menteri Najib, sedangkan beliau jelas berdepan kes rasuah yang serius, iaitu 1MDB, dan mempunyai kaitan yang jelas dengan rasuah.
“Bagaimana anda akan menasihati pemimpin masa depan supaya berani bersuara menentang rasuah dan feudalisme, berfikir secara kritis serta mengemukakan fakta dan data statistik?,” soalnya.

Sementara itu, Adam Adli berkata keberanian mahasiswa untuk menyuarakan pandangan tidak seharusnya ditakuti oleh pemimpin, sebaliknya kesediaan untuk mendengar suara anak muda perlu terus dipelihara.

“Yang lebih membimbangkan ialah apabila kampus kehilangan keberanian untuk bertanya, dan pemimpin pula kehilangan kesediaan untuk mendengar,” jelas Pemangku Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka itu.

Sumber: Threads Adam Adli

Scroll to Top