KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Leftenan Jeneral (Bersara) Datuk Ahmad Norihan Jalal dilantik sebagai Fasilitator Kerajaan Malaysia yang baharu bagi Proses Dialog Damai Selatan Thailand menggantikan Datuk Mohd Rabin Basir.
Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan kerajaan yakin pengalaman, kewibawaan dan kepimpinan Ahmad Norihan mampu memperkukuh peranan Malaysia sebagai fasilitator yang mendapat kepercayaan semua pihak di samping memberikan momentum baharu kepada dialog berkenaan melalui pendekatan lebih menyeluruh serta berorientasikan penyelesaian.
Kenyataan itu memaklumkan bahawa Ahmad Norihan, yang juga bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan ke-17, memiliki pengalaman lebih 33 tahun dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kepakaran dalam perisikan strategik, risikan pertahanan, analisis keselamatan selain pengurusan operasi di peringkat nasional serta antarabangsa.
“Beliau memulakan kerjaya sebagai Pegawai Kerahan di Rejimen 502 Askar Wataniah pada 15 Mei 1987 sebelum menyertai Kor Risik Diraja pada 10 Okt 2002, kepimpinan beliau memperkukuh keupayaan perisikan pertahanan, menyelaras penilaian strategik serta membekalkan maklumat risikan bagi menyokong keputusan kepimpinan tertinggi negara dan ATM,” menurut kenyataan itu.
Menurut MKN, pelantikan itu mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam memudah cara dialog yang konstruktif bagi menyokong usaha ke arah penyelesaian aman, menyeluruh dan berkekalan di wilayah Selatan Thailand.
“Kerajaan Malaysia juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan serta terima kasih kepada Mohd Rabin yang telah menamatkan khidmat beliau,” katanya. – Bernama



